Ahad, 31 Ogos 2008

Belum Mampukah Kita Menghindari Perjuangan Berasaskan Bangsa.

Sedikit masa dulu Pakatan Rakyat melalui DAP telah menukar papan tanda jalan di Kuala Lumpur kepada 3 bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina dan India. Alasannya adalah untuk menggambarkan masyarakat majmuk yang ada di Malaysia. Dengan itu perpaduan dapat ditingkatkan.

Saya tidak membantah dan sama sekali tidak menyokongnya. Kita sebagai rakyat yang mengaku taat setia kepada negara ini marilah kita melihat isu ini dengan hati yang terbuka.

Apabila kita pergi ke sesebuah negara, apakah kita akan melihat papan tanda yang ada dalam berbagai bahasa. Kebiasaannya ia akan mengikut bahasa kebangsaaan sesuatu negara. Kalau ada pun tambahan adalah bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris. Atau mungkin juga bahasa lain-lain selain bahasa Inggeris.


Adakah kepelbagaian bahasa ini digunakan untuk menggambarkan kepelbagaian bangsa atau untuk memudahkan perjalanan. Adakah kepelbagaian bahasa ini untuk warganegaranya atau pelancong luar.


Saya tertarik dengan jawapan Tuan Guru Dato Seri Haji AbdulHadi Awang pada suatu masa dulu apabila ditanya oleh kaum Cina, apakah bahasa Cina akan digunakan sebagai bahasa rasmi apabila PAS memerintah. Jawapan Tuan Guru, di negeri Cina bahasa apakah yang digunakan sebagai bahasa rasmi.


Maka bahasa rasmi adalah mengikut negara yang berkenaan. Thailand akan menggunakan bahasa Thainya, Filipina akan mengunakan bahasa Tagalognya, Peranchis akan menggunakan bahasa Peranchisnya, Britain dan USA akan menggunakan bahasa Inggeris.


Nilai bahasa yang digunakan oleh sesebuah negara adalah nilai sejagat iaitu bahasa utama negara berkenaan. Maka bahasa utama negara Malaysia adalah bahasa Melayu. Apa sahaja urusan mestilah dalam bahasa Melayu. Kecuali dalam keadaan tertentu.

Bukankah apabila Tanah Melayu hendak di merdekakan syarat-syarat kewarganegaraan adalah boleh bertutur dan memahami bahasa Melayu. Malah semua sekolah mengajar bahasa Melayu selepas merdeka termasuk juga sekolah bangsa-bangsa lain yang ada di Tanah Melayu.


Kita sudah merdeka 51 tahun mustahil ada lagi orang bukan Melayu yang tidak memahami bahasa Melayu sehingga papan tanda terpaksa ditukarkan kepada 3 bahasa.


Untuk menggambarkan masyarakat majmuk kita kena meletak juga bahasa kaum lain seperti Sikh, Iban, Kadazan, Asli, Jawa, Banjar dan sebagainya.

Sekiranya untuk pelancong, bahasa Arab juga perlu ditulis kerana Malaysia sekarang menerima banyak pelancong Arab.

Sikap yang diambil oleh DAP sebenarnya menggambarkan kedangkalan perjuangan. Mereka masih tidak jelas apa yang mereka hendak perjuangkan. Apa yang jelas adalah keadilan untuk bangsa bukan melayu, bukan keadilan bangsa Malaysia.

Kalau dibuat tinjuan pun rasanya bukan itu yang dikehendaki oleh bangsa selain Melayu. Mereka mahukan keadilan untuk mereka sebagai bangsa bukan Melayu yang telah menumpahkan taat setia kepada bumi ini. Keadilan yang tidak menggangu gugat hak kepunyaan orang Melayu sebagai penduduk asal.

Tidak hairanlah sekiranya DAP tidak dapat menerima perjuangan PAS kerana mereka melihat dari kacamata perkauman . Sekiranya mereka mahu berlapang dada untuk melihat perjuangan PAS mereka akan menjadi penyokong yang kuat.

Bodoh ke orang bukan Islam dan bukan Melayu untuk menjadi ahli kelab penyokong PAS. Ini tidak lain kerana mereka melihat keadilan yang akan mereka nikmati sekiranya PAS memerintah.

Butakah mata kita untuk melihat orang yang tidak layak menjadi ahli sebuah parti politik menubuhkan kelab penyokong parti berkenaan .

Sekiranya parti DAP buta untuk melihat fenomena ini bersedialah untuk terkubur pada suatu hari nanti.

Fikir-fikirkanlah............

Selasa, 19 Ogos 2008

Iktibar atau merasa kecewa

Petang ini anak lelaki kedua saya kehilangan beg duitnya. Bersama-sama beg duit tersebut adalah kad pengenalan, kad ATM, kad pelajar UiTM, kad memandu serta sedikit wang.

Sambil memandu ke balai polis untuk membuat laporan kehilangan saya berbual dengannya. Sebenarnya saya jarang dapat berbual panjang dengan anak yang ini kerana beliau telah pergi sekolah asrama sejak berumur 13 tahun. Sememangnya anak yang ini tidak pandai berkata-kata walau pun dia termasuk golongan yang cerdik.

Beliau kurang pandai berkomunikasi. Kata-kata yang keluar dari mulutnya kebanyakan adalah ayat-ayat yang pendek dan straight to point. Kerana sikapnya itu maka ia kelihatan kurang mesra. Tidak tahu pula sejauhmana kemesraannya dengan kawan-kawan.

Dalam perjalanan itu saya mengingatkannya dan juga diri saya, setiap peristiwa samada baik atau buruk adalah dari tuhan. Tuhan yang berkuasa atas sesuatu. Kita hendaklah banyak berfikir atas peristiwa yang berlaku kepada kita. Tanya diri kita kenapa ini boleh berlaku kepada kita. Setelah bertahun-tahun tiba-tiba peristiwa ini berlaku kepada kita. Apakah iktibar yang dapat diambil pengajaran. Apakah salah kita yang perlu diperbaiki.

Setiap peristiwa sekiranya kita perhatikan tidak menimpa pada semua orang. Kenapa sesetengah orang mendapat musibah sedangkan orang lain tidak, sedang kita melalui perkara yang sama.

Kita hendaklah sentiasa berdoa agar dihindarkan daripada musibah, kerana semuanya daripada tuhan. Sudah selayaknya kita mohon pada tuhan. Janganlah musibah yang menimpa menyebabkan kita berputus asa.

Dengan berfikir akan membuat diri kita tenang dan tenteram........

Ahad, 17 Ogos 2008

Kalau tuhan menghendaki seseorang menjadi Islam maka tuhan mudahkan.

Pagi ini saya menghantar kakak dan abang ipar ke KLIA. Mereka hendak pergi ke Sabah untuk melihat anak dan menantu yang bertugas sebagai guru di Sabah. Ini adalah pengalaman pertama mereka menaiki kapalterbang.

Saya membantu mereka mendaftar masuk. Kebetulan semasa berbaris, dihadapan mereka berdiri seorang lelaki yang bersongkok sedang menggunakan telefon bimbitnya. Semasa ia berpaling kelihatan wajahnya menyerupai bangsa Jepun atau Cina. Oleh kerana beliau bersongkok, ianya menarik perhatian saya. Kelihatannya beliau macam mudah mesra.

Maka saya mengambil kesempatan untuk menegurnya. Rupanya beliau orang Cina Malaysia yang berasal dari Grik Perak. Namanya Muhamad Lin Abdullah.

Saya tanya bagaimana sampai beliau boleh tertarik kepada Islam. Katanya petunjuk dari Tuhan. Hairan juga saya mendengarnya. Beliau menceritakan bahawa setiap pagi pada jam 5 pagi beliau akan keluar berjoging. Pada suatu hari ketika mendengar azan subuh beliau tiba-tiba rasa ingin menunaikan sembahyang subuh. Beliau terus pergi ke masjid untuk sembahyang subuh, tetapi tidak dibenarkan masuk oleh pengawal. Esoknya perkara yang sama berulang lagi. Pada hari ketiga beliau diberitahu oleh pengawal sekiranya beliau hendak sembahyang mestilah memakai seluar panjang yang menutup aurat. Maka beliau pulang ke rumah dan kembali semula dengan memakai seluar panjang. Katanya hari itu adalah hari yang bersejarah kerana disaksikan dengan 2 orang imam beliau telah diislamkan. Imam telah mengeluarkan sepucuk surat yang mengesahkan pengislaman beliau.

Esoknya beliau mendaftarkan keislamannya di pejabat ugama kerana kebetulan hari pengislamannya terjatuh pada hari Ahad. Pejabat ugama tutup pada hari Ahad. Pejabat ugama telah menguruskan pembelajaran Islamnya. Katanya sehingga hari ini sudah 8 tahun beliau memeluk Islam iaitu semenjak tahun 2001.

Apabila saya ajukan berkenaan penerimaan kaum keluarga. Tidak ada masalah katanya. Beliau tinggal bersama keluarga. Ustaz-ustaz selalu datang kerumahnya termasuk pada hari Tahun Baru Cina. Emaknya melayan baik ustaz-ustaz yang datang berkunjung.

Cuma katanya, seorang abangnya tidak bersetuju dengan tindakannya. Abangnya seorang yang memiliki ijazah sarjana dan seorang guru penolong kanan. Abangnya merasakan bahawa beliau lebih bijak dalam menilai sesuatu. Tindakan yang diambilnya adalah tindakan yang tidak bijak.

Apabila saya minta tolong membantu kakak dan abang ipar semasa dalam perjalanan sehingga di lapangan terbang Kota Kinabalu, beliau nampaknya bersungguh ingin membantu.

Peristiwa ini membuat saya berfikir. Sesungguhnya perjalanan kakak dan abang ipar saya sebenarnya merisaukan juga. Mereka hanya orang kampung yang tidak pernah berjalan sejauh ini. Mungkin sekadar menghantar orang naik kapalterbang ada. Tambahan pula berada disuatu tempat yang asing walaupun di negara sendiri. Kerana ketulusan hati mereka maka Tuhan datangkan seseorang untuk membantu mereka. Aku pun boleh bergerak pulang dengan hati yang senang dan tenteram.

Kisah saudara baru ini menginsafkan kita, bahawa Allah berhak membuat sekehendakNya kerana Allah adalah Tuhan Yang Maha Kuasa. Dia berkuasa untuk melakukan ikut kehendakNya. Dia boleh memberi hidayah pada siapa sahaja yang dipilihNya. Tanpa da'wah manusia boleh menerima Islam. Bukan kerja kita untuk memberi hidayah. Kerja kita hanyalah untuk menyampaikan. Tidak perlulah kita berputusa asa apabila manusia tidak mahu menerimanya.

Khamis, 14 Ogos 2008

Pengurusan Berintegriti

Saiyidina Umar muhasabah diri setiap malam sebelum tidur. Beliau mengenang kembali apa yang dilakukannya sepanjang hari itu.

Maka kita lihat Umar lahir sebagai pemimpin yang hebat sehingga Ketua Menteri Pulau Pinang yang bukan Islam mahu mencontohinya. Sejauh mana kebenarannya hanya beliau yang tahu.

Kita sendiri adakah sentiasa muhasabah diri. Kalau tidak setiap malam, kita muhasabahlah setiap minggu. Kalau seminggu sekalipun tidak, kita muhasabahlah sebulan sekali. Kalau itu pun kita tidak mampu lakukan kenapa tidak apabila kita teringat atau diperingatkan. Sama ada apabila kita mendengar bacaan doa atau tazkirah.

Sungguhpun doa atau tazkirah dibacakan oleh orang lain, kita masih boleh lagi muhasabah diri kita. Tetapi kalau kita lihat doa dan tazkirah itu hanyalah peringatan untuk orang lain sahaja, maka tidaklah kita mendapat apa-apa hasil pun. Hanya kita dapat melihat kesalahan orang lain sahaja.

Muhasabah hanya berkesan apabila kita melihat diri kita, bukan orang lain.

Fikir-fikirkanlah.........

Isnin, 11 Ogos 2008

Perbincangan antara agama, dimana nak dimulakan.

Apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh Majlis Peguam. Nak dikatakan mereka cuba menyelesaikan masalah, tetapi cara mereka macam mencabar. Tidak mahu langsung mendengar pandangan orang lain. Mereka nampaknya sudah ada persepsi berkenaan dengan orang Islam. Orang Islam adalah golongan yang tidak boleh dibawa berbincang. Maka mereka cuba menunjukkan betapa mereka pun jenis keras kepala.

Kadangkala manusia yang merasakan mereka pandai ada masanya, ada keadaannya mereka pun termasuk golongan yaang tidak cerdik walaupun bukan bodoh dalam melihat sesuatu masalah.

Mereka sebenarnya tidak boleh menyalahkan orang Islam atas tindakan umat Islam yang keras. Umat Islam sudah kehilangan Aishah Bukhari, Lina Joy atas permainan jahat golongan bukan Islam. Umat Islam keras apabila isu umat Islam disentuh. Walau pun sebenarnya sepatutnya umat Islam mestilah bersifat terbuka. Jangan mengambil tindakan terburu-buru.

Semua orang sebenarnya berniat baik tidak kira muslim dan bukan muslim. Bahasa yang digunakan mestilah bahasa yang difahami oleh kedua-dua pihak barulah kita boleh duduk semeja untuk berbincang.

Umat Islam tidak pernah berniat untuk menyentuh orang bukan Islam. Kalau berlaku adalah kerana kejahilannya. Umat Islam diajar untuk tidak menghina orang bukan Islam. Tetapi apabila soal Islam disentuh mereka akan bertindak yang kadang-kadang diluar ajaran Islam.

Orang bukan Islam sudah menyentuh umat Islam. Mungkin kerana kejahilannya. Kerana barat membenci Islam maka mereka merasakan betullah cara mereka berhadapan dengan umat Islam. Bukankah mereka dilahirkan dan dibesar disebuah negara yang ramai umat Islam. Tidak bolehkah berhenti sejenak untuk memahaminya. Umat Islam tidak pernah memusuhi bukan Islam. Maka sebab itu bukan Islam boleh hidup disini.

Fikirkanlah......sampai bila kita harus bersikap memusuhi.

Sabtu, 9 Ogos 2008

Objektif kualiti, mampukah kita mencapainya.

Apabila kita membicarakan soal kualiti tidak akan terlepas dari membicarakan soal objektif kualiti. Pencapaian kualiti tanpa adanya objektif kualiti tidak membawa kita kemana-mana kerana tiada matlamat yang hendak dicapai. Objektif kualiti adalah ditetapkan oleh kita sendiri yang kita rasa kita boleh mencapainya.

Malangnya kita sudah tersalah faham berkenaan objektif kualiti ini. Ianya menjadi sesuatu yang menakutkan. Mengganggu hidup kita selalu. Kita melihatnya sebagai bebanan. Pada hal objektif tersebut kita yang menetapkannya. Sepatutnya kita mampu untuk mencapainya.

Dimana salahnya. Pertama cara menetapkan objektif, betulkah caranya. Adakah kita hanya menetapkannya berdasarkan apa yang kita hendak capai. Apakah kita telah mengkaji sejarah, tentang kemampuan kita mencapai sesuatu objektif yang kita hajatkan. Kalau pun kita yang menetapkannya kenapa kita merasa takut untuk mencapainya. Kita cuba mengubahnya kepada lebih rendah lagi kerana kita tidak yakin akan kemampuan kita.

Ini adalah kerana kesalahfahaman kita mengenai penetapan objektif dan gerak kerja kita kearah mencapainya. Sebenarnya mudah untuk kita fahami. Kita ambil contoh LHDNM, dimana telah ditetapkan sasaran yang perlu dicapai iaitu untuk mengutip cukai dengan jumlah tertentu. Mereka tidak pernah merungut samada mampu mencapainya atau tidak. Apa yang mereka lakukan adalah menggunakann segala sumber yang mereka ada untuk mencapai sasaran tersebut. Mereka berjaya mencapainya. Setiap tahun sasaran mereka dinaikkan. Dan mereka tidak pernah merungut daan terus berjaya mencapainya. Mereka berasa puas setiap kali mencapai sasarannya.

Begitu juga dengan objektif kualiti. Kita seharusnya berusaha menggunakan segala sumber untuk mencapainya. Malangnya kita mengaku kalah sebelum berjuang. Tanpa mengetahui kita mampu atau tidak mencapainya, kita berusaha untuk menurunkan objektif ke tahap yang lebih rendah dari apa yang kita sendiri tetapkan.

Bagi suatu perkhidmatan yang berkualiti kita seharusnya sentiasa mengubah sasaaran objektif kita ketahap yang lebih tinggi. Kita akan berusaha dengan segala sumber yang ada untuk mencapai tahap tersebut.

Itulah semangat yang seharusnya ada pada kita. Berusaha dengan sedaya upaya untuk mencapai segala objektif yang ditetapkan. Sekiranya kita tidak dapat mencapainya, barulah kita melakukan bedahsiasat untuk menentukan punca kita tidak dapat mencapainya. Kita cuba baiki ruang yang ada kelemahan untuk kembali bergerak mencapai matalamat.

Bukan lari sebelum berjuang. Fikirkanlah........

Jumaat, 8 Ogos 2008

Manusia yang mengikut nafsu adalah adalah binatang.

Manusia apabila tidak dipandukan oleh ugama akan menjadi seperti binatang. Kehidupan mereka hanya berkenaan dengan perkara yang berkaitan dengan hawa nafsu. Binatang dijadikan hanya mempunyai nafsu sahaja. Manusia dijadikan memiliki nafsu dan aqal. Apabila manusia mementingkan nafsu sahaja maka samalah tarafnya dengan binatang.

Kerana nafsulah maka manusia sanggup memfitnah manusia lain. Mereka sanggup mengaibkan diri sendiri dengan menjadikan dirinya bahan fitnah. Sanggup mengaku dirinya diliwat. Orang yang berpegang pada nafsu sahaja yang sanggup mengaibkan dirinya. Kalau ia mengakui dirinya semulia-mulia makhluq yang dijadikan Tuhan tidak mungkin ia akan mengaibkan dirinya dengan perkara begitu.

Orang yang mengakui dirinya di pihak yang benar tidak perlulah menyembunyikan diri berlindung di sebalik manusia. Kalau mereka mahu menaikkan diri mereka semula ketaraf manusia sebentar cuma, fikirkanlah kemana diri mereka selepas kehidupan ini. Sempatkah mereka hendak bertaubat dengan perbuatan mereka. Merekakah yang berkuasa atau pelindung merekakah yang berkuasa atau Tuhan Yang Maha Kuasa dari segalanya. Kalau mereka fikir mereka yang berkuasa atau pelindung mereka yang berkuasa, maka sememangnya tidak ada apa yang mampu yang dilakukan untuk menyedarkan diri mereka.

Tapi apakan daya kita yang sedar sememangnya tidak mampu untuk mengubahnya. Tetapi kita masih ada lagi Tuhan Yang Maha Kuasa. KepadaNyalah kita sama-sama memohon agar tuhan lindungi orang-orang yang jujur. Berilah kesedaran kepada mereka-mereka yang menurut hawa nafsu. Buktikanlah kebesaranMu agar mereka sedar bahawa Tuhan itu Maha Kuasa.

Isnin, 4 Ogos 2008

Mubahalah sebagai jalan penyelesaian.

Perkataan mubahalah telah menjadi popular semula sejak peristiwa mubahalah al-Arqam dahulu. Mungkin ada yang memandang sinis dengan saranan mufti Perlis kepada Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya supaya mereka bermubahalah.

Isu liwat ini kita boleh lihat dari berbagai sudut. Dalam suasana politik masa kini, isu ini dilihat sebagai isu yang paling baik untuk mengaibkan seseorang. Ia sukar dibuktikan dan sukar hendak menolaknya. Suasana keliling membenarkan fitnah tersebut berjalan. Anwar sendiri juga suka menimbulkan aib orang lain. Allah telah memberi peluang pada beliau supaya tidak melakukan perkara mengaibkan orang lain kecuali terpaksa. Nampaknya beliau terikut-ikut rentak kawan lamanya. Kalau kita dipihak yang benar, munajatlah kepada Allah. InsyaAllah, Allah akan beri jalan penyelesaian yang terbaik.

Isu ini sudah melampau sehingga umat Islam kehilangan harga diri. Kita bernasib baik kerana mempunyai ulama'-ulama' yang wara' dari kalangan PAS yang menyebabkan bukan Islam melihat ini bukan isu masyarakat Islam. Ia adalah isu masyarakat Melayu yang sudah hilang budaya sopan santunnya. Hilang roh Islamnya.

Isu ini hanya dimainkan didada-dada akhbar sahaja. Pembuktiannya sampai sekarang tidak ada. Kertas laporan polis pun tiada. Jadi mungkinkah patut kita memikirkan jalan mubahalah ini sebagai yang terbaik. Dengan mengadakan mubahalah ini, mungkin isu ini dapat diredakan.

Fikirkanlah..........ini perkara maruah umat Islam. Tidak semestinya ulama' yang tidak terlibat dalam politik tidak mampu memberi pandangan dari sudut politik. Mereka memberi jalan penyelesaian. Tidak perlulah memandang sinis kepada mereka.

Jumaat, 1 Ogos 2008

Prihatinkah kita?

Cuba perhatikan pagi-pagi di hadapan sekolah. Semasa semua ibubapa sedang bersesak untuk menghantar anak ke sekolah. Perhatikan kereta ibubapa, kereta cikgu, kenderaan lain, kanak-kanak yang berbasikal, kanak-kanak yang melintas jalan. Jangan tumpukan semata-mata kepada anak kita. Dalam keadaan yang bersesak dengan kenderaan yang tidak bertimbang rasa, masih ada lagi ibu bapa tidak merasa apa-apa melihat anaknya melintas jalan ke sekolah. Tidak ada rasa tanggungjawab langsung untuk meminpin tangan anak-anak terus ke pintu pagar sekolah. Tidaklah mengambil masa yang lama sangat untuk melakukannya. Kebanyakan ibubapa lebih senang duduk di dalam kereta. Apabila anak turun mereka terus bergerak tanpa menghiraukan sama ada anak dapat melintas atau tidak. Sekiranya pada masa itu ada ibubapa yang sedang memimpin tangan anaknya untuk melintas bolehlah kanak-kanak ini menumpang. Sudah puas kempen di TV, tapi masih lagi perkara berlaku. Agaknya mereka ini tidak menonton rancangan TVv Malaysia. Jangan sampai terhantuk baru tengadah. Nyesal kemudian tidak berguna lagi.

Perhatikan anak-anak yang cuba melintas. Berapa buah kenderaan yang prihatin untuk memberi laluan kepada kanak-kanak ini untuk melaintas. Lihat betapa biadapnya van sekolah, bas sekolah, bas kilang, lori-lori, kenderaan yang tidak menghantar anak kesekolah. Seolah-olah anak ini ada adalah anak orang lain bukan anak kita. Lalu terkial-kial kanak-kanak ini mencari jalan untuk melintas. Ada juga kenderaan yang hendak memberi laluan tapi takut pula kenderaan dibelakang terutama motor akan memotong semasa mereka berhenti. Sebab itulah yang selalu berlaku. Yang jujur pun menjadi serbasalah. Tapi ada juga yang hebat mereka sanggup berhenti untuk membantu kanak-kanak ini melintas. tapi berapa ramai.

Perhatikan pula kereta yang berhenti dihadapan sekolah untuk menurunkan anak-anak mereka. Berlapis-lapis kenderaan. Kadangkala sampai 3 lapis yang menghalang lalulintas. Perhatikan bagaimana terkial-kialnya anak-anak yang berbasikal melalui celah-celah kenderaan. Kadang mereka terpaksa berbasikal ditengah jalan akibat kenderaan yang berlapis. Setalah menurunkan anak, mereka terus sahaja jalan tanpa memberi laluan kepada anak-anak yang berbasikal. Nampaknya mereka sayangkan anak meraka sahaja. Anak orang lain tidak perlu dijaga. Ada yang lagi hebat selepas menurunkan anak, mereka buat pusingan u pula depan sekolah. Hebat juga rakyat Malaysia.

Ada lagi ke? Memang banyak. Penat nak bercerita. Tetapi apa tindakan kita.

Fikirkanlah...........aku pun macam tu juga ke?