Khamis, 31 Julai 2008

Benarkah kita sudah mencapai tahap kualiti.

Apabila berlaku perpindahan staf dari satu cawangan ke satu cawangan atau staf baru dilantik ditempatkan di suatu cawangan, kita sudah mengetahuinya sebelum staf tersebut sampai ke cawangan kita. Bagaimanakah layanan kita terhadap mereka. Siapakah mereka kepada kita? Adakah hanya seorang pekerja yang akan menambahkan keanggotaan organisasi cawangan kita? Adakah hanya seorang pekerja yang akan membantu mengurangkan beban kerja kita? Adakah seorang pekerja yang boleh diarahkan untuk melakukan apa sahaja?

Apabila mereka sampai ke cawangan kita dan kita melihat rupa bentuk, sikap mereka barulah kita fikirkan tugas-tugas yang mereka akan jalankan. Barulah kita fikirkan keperluan mereka untuk melakukan tugas-tugas yang diarahkan kepada mereka. Sementara itu mereka bolehlah duduk di perpustakaan untuk menunggu surat arahan penempatan. Apabila telah ditempatkan barulah mereka mendapatkan keperluan peralatan untuk melakukan tugas.

Mungkinkah mereka akan berpuashati dengan layanan kita itu. Mungkin ya. Mungkin tidak. Tidak mustahil bahawa mereka berpuashati, kerana mereka tahu apa peranan mereka dalam cawangan ini walau pun lambat sedikit. Itu biasalah. Penempatan diatur setelah staf sampai ke cawangan pertukarannya. Kalau soal selidik dikeluarkan ada kemungkinan kita mendapat cemerlang sekali.

Apa kata sekiranya layanan yang kita berikan sedikit luabiasa. Apabila nama-nama mereka sampai kepada kita, kita sudah tahu jantinanya, umurnya, kelayakannya dan sebagainya. Dengan maklumat tersebut kita sudah boleh mengagihkan mereka kepenempatan yang sesuai. Kita sudah boleh menyediakan peralatan yang sesuai kerana kita tahu keperluan tugas mereka serta jumlah keperluan. Memo pertukaran boleh disiapkan sebelum tarikh pertukaran. Apabila mereka sampai, maka akan terus diagihkan ke penempatan yang telah ditetapkan. Mereka terus boleh melaksanakan tugas mereka. Bahagian berkenaan boleh terus menggunakan khidmat mereka atau terus melatih mereka dalam melaksanakan tugas.

Apakah agaknya kata pelanggan kita. Ini suatu yang di luar daripada kebiasaan. Pelanggan kita terdiri dari staf baru dan ketua bahagian yang berkenaan. Mereka pasti kagum kerana tidak pernah dibuat orang, pada hari pertama melapurkan diri mereka telah disediakan segala kemudahan untuk memulakan sumbangan kepada cawangan. Ketua sudah pasti gembira dan kagum kerana ia dapat mengurangkan bebanan kerja staf sedia ada tanpa tangguh lagi. Pasti terdetik di hati mereka "Hebat sungguh, tidak pernah dibuat orang. Hari pertama aku sudah merasai kehebatanya. Tidak rugi aku ditempatkan disini." Bagaimana pula kata ketua bahagian, "Hebat sungguh, seleaai masalah saya".

Inilah yang cuba diberi faham oleh ISO. Sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak pelanggan. Kita tidak menunggu komentar dari pelanggan baru kita hendak berikan perkhidmatan yang terbaik. Kita sentiasa berusaha memberi kejutan.

Fikirkanlah........ di mana kita dalam situasi ini. Yang mana satu pilihan kita. Apa yang kita ingini itulah juga yang diingini oleh orang lain.

Rabu, 30 Julai 2008

Israk dan Mikraaj di mana pengajarannya.

Hari ini kita menyambut Israk dan Mikraj. ia adalah peristiwa penting dalam kalendar umat Islam. Sejauhmana kita sebagai umat Islam memahami peristiwa ini. Kalau di kampung-kampung dan tidak kurang juga di bandar peristiwa ini akan disambut dengan mengadakan majlis jamuan dan ceramah.

Ceramah selalunya berkisah tentang cerita Israk dan Mikraj itu sahaja. Tentang bagaimana Nabi Muhammad saw dijalankan dari Makkah ke Masjidil Aqsa. Dan dari Masjidil Aqsa di naikkan ke langit untuk bertemu dengan Allah swt. Tentang peristiwa yang ditempuh sepanjang perjalanan tersebut. Tentang bagaimana solat 5 waktu yang mula disyariatkan ke atas umat Islam. Semua peristiwa yang dilalui oleh Nabi Muhammad saw adalah penting kerana banyak pengajaran yang dapat kita ambil iktibar. Ada lagi perkara penting yang dapat kita ambil iktibar.

Peristiwa ini berlaku ketika Islam di Makkah dan masih lagi ditindas. Peristiwa ini telah menggoncang keimanan umat Islam. Pada zaman tersebut adalah suatu perkara yang pelik apabila ada manusia yang mampu pergi kesatu tempat yaang jauhnya beribu batu dan naik pula ke langit.Kalau kita hidup di zaman tersebut, tidak mustahil kita juga akan goyang iman. Tidak boleh langsung tergambar difikiran kita. Musuh-musuh Islam telah mengambil kesempatan dari peristiwa tersebut memperolok dan mempermainkan keimanan umat Islam.

Tetapi ada seorang manusia yang keimanannya langsung tidak goyah. Malah beliau boleh berkata sekiranya Muhamamad pergi lagi jauh dari itu aku tetap percaya. Kenapa manusia yang bernama Abu Bakar ini boleh begitu kuat kepercayaannya kepada Nabi Muhammad saw. Inilah contoh iman yang sebenar yang dikehendaki oleh Islam. Beliau yakin benar-benar bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah. Maka setiap yang datang dari pesuruh Allah adalah benar walaupun nampaknya tidak logik pada aqal manusia biasa. Beliau yakin apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw itu benar-benar dari Allah. Keyakinan ini ditunjukkan dengan membenarkan Nabi Muhammad saw.

Kita fikirkanlah dan tanya diri kita sejauh mana keimanan kita. Sejauh mana kita benar-benar yakin bahawa apabila kita menerima Islam dan melaksanakan Islam dalam kehidupan ianya benar-benar akan membawa kebaikan kepada kita dan umat Islam. Sejauh mana kita jadikan Islam itu panduan hidup kita dalam setiap masa. Sejauh mana kita yakin bahawa Islam merupakan penyelesaian kepada masalah manusia dan kita cuba sampaaikan kepada semua manusia.

Fikirkanlah.

Selasa, 29 Julai 2008

MS ISO peranan siapa sebenarnya.

Saya terlibat sebagai penyelaras audit MS ISO di organisasi saya. Pengalaman sebagai juruaudit menambahkan kefahaman saya tentang MS ISO. Saya dapat melihat betapa pentingnya peranan pengurusan atasan dalam memastikan MS ISO dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam sesebuah organisasi. Pengurusan atasan hendaklah memahami dan menghayati MS ISO. Dengan hanya mengarahkan orang bawahan melaksanakannya tidak dapat mencapai matlamat kualiti.

Jelas didalam standard menerangkan peranan pengurusan atasan. Pengurusan atasan seharusnyalah memahami apakah langkah-langkah yang perlu diambil dalam pelaksanaannya. Bukan sahaja memahami tetapi boleh menunjukajar kaedah pelaksanaannya. Apa yang berlaku semuanya diserahkan kepada staf mereka. Tidak hairanlah apabila timbulnya ketakuran mereka tidak tahu apakah tindakan yang perlu diambil. Mereka bukan berusaha untuk memahaminya.

Sikap ini boleh menyebabkan sesuatu organisasi berterusan mendapat ketakuran. Tindakan pembetulan yang diambil keatas sesuatu ketakuran bukanlah tindakan pembetulan yang sebetulnya. Ada tindakan pembetulan memerlukan kuasa pengurusan atasan untuk melaksananya. Sekiranya mereka sendiri tidak memahaminya bagaimanakah tindakan pembetulan yang betul dapat diambil.

Bagaimanakah jalan yang sebaiknya untuk saya sampaikan kepada pengurusan atasan bahawa peranan mereka bukan sekadar menyerahkan tugas, tetapi menuntut penglibatan mereka sepenuhnya.