Jumaat, 19 Jun 2009

PAS AKAN MENJADI SEPERTI GERAKAN ISLAM DI AFGHANISTAN

Apakah PAS akan menjadi seperti gerakan Islam di Afghanistan. Mereka adalah pejuang-pejuang Islam yang hebat semasa penjajahan Soviet Union. Apabila kemenangan dicapai tiba-tiba mereka tidak boleh bekerjasama.Tambahan pula musuh dalam selimut yang mereka tidak sedari telah melaga-lagakan mereka.


Semasa berjuang menentang tentera Soviet mereka boleh bekerjasama atas nama Islam. Apabila mereka menang,mnereka tidak boleh bersatu atas nama Islam. Masing-masing merasakan mereka di jalan yang benar.


Inilah yang berlaku pada PAS sekarang. Kemenangan sudah di ambang pintu dan mereka merasakan strategi mereka sahaja yang betul. Bukan lagi pertolongan dari Allah. Mana sikap rendah diri yang ada selama ini. Mereka semakin tidak menghormati Presiden yang mereka lantik. Penasihat yang sudah tidak faham peranannya. Apabila ketua tidak dihormati maka apa lagi yang tinggal melainkan kehancuran.


Untuk Afghanistan Allah datangkan Taliban untuk menjadi orang tengah. Sehingga kini golongan yang bertelagah tidak mampu lagi bangkit untuk bersaing.


Tidak mustahil Allah akan datangkan Taliban Malaysia untuk menghapuskan kedua-dua golongan yang cuba menegakkan benang basah masing-masing. Tidak ada perasaan untuk musyawarah.


Perasaan tawadu’ sudah hilang. Apa yang dipentingkan sekarang hanya kemenangan bukan penyatuan/perpaduan. Seolah-olah kemenangan itu hak mereka. Mereka lupa Allah yang menentukan kita menang atau kalah.


Elok juga Allah datangkan Taliban Malaysia untuk menutup mulut kedua-dua golongan ini.
Lupakah kita bahawa pengikut-pengikut mazhab pernah bergaduh kerana mengatakan Imam mereka lebih betul. Sedang Imam mereka tidak pula berbalah. Tidak mustahil ia akan berlaku dalam PAS. Masalahnya dalam PAS Imam yang bergaduh dan tidak mustahil pengikut setia akan ikut sama. Yang hancur Islam.


Tidak mustahil akan muncul Taliban Malaysia.


Fikir-fikirkanlah………………….

Selasa, 2 Jun 2009

BUDAYA APA YANG ADA DALAM ORGANISASI KITA

Setiap organisasi ada matlamat penubuhannya. Matlamat inilah yang menjadi panduan dalam menggerakkan organisasi. Misi dan visi adalah dibangunkan berdasar matlamat yang telah ditetapkan bagi organisasi. Perjalanan harian organisasi adalah tidak terpesong dari matlamat ini. Matlamat ini tergambar dalam teras perkhidmatan yang diberikan.

Hakikatnya anggota organisasi selalu terpesong dari matlamatnya. Tambahan pula apabila budaya luar yang berbeza diperkenalkan dalam organisasi. Mereka ini selalunya datang dari organisasi yang mempunyai matlamat yang berbeza dari organisasi ini. Mereka datang bukan untuk memperkemaskan organisasi agar dapat mencapai matlamat yang ditetapkan. Mereka datang untuk menunjukkan betapa mereka lebih cekap. Kecekapan itu tidak pernah dibudayakan dalam keseluruhan organisasi.

Budaya yang asing ini akan merosakkan organisasi dalam jangka masa panjang. Setiap anggota organisasi saling memerlukan dan saling memberi perkhidmatan. Tidak ada antara anggota organisasi yang boleh bergerak bersendirian. Mereka saling memenuhi kehendak antara satu sama lain. Matlamatnya hanya satu, untuk memastikan teras perkhidmatan utama terlaksana dengan jayanya.

Organisasi kita di mana? Adakah berada di landasan yang betul atau telah terpesong jauh. Sekiranya sudah terpesong jauh, kembalilah ke pangkal jalan. Kembalilah ke asas. Jangan biarkan orang-orang yang dididik dengan budaya lain merosakkan kita. Tanpa mereka ini kita telah pernah mengecap kejayaan. Mereka ini sebenarnya menghancurkan kejayaan kita.

Fikirkanlah..................

Rabu, 27 Mei 2009

MUHAMMAD SAW PUTERA LEMBAH BAKKAH

Tajuk: Muhammad SAW Putera Lembah Bakkah
Penulis: Zuraimi Ismail
Penerbit: Galeri Ilmu

Menariknya buku ini adalah cara sirah disampaikan. Ia disampaikan dengan cara bercerita. Ceritanya tidak terlalu berlebihan sehingga nampak kecacatannya. Ia amat menyentuh perasaan. Seolah-olah kita ada sama pada masa peristiwa tersebut berlaku. Kita dapat membayangkan apa yang dilalui oleh datuk dan ibu Nabi SAW. Tidak dapat hendak dibayangkan.

Sesuatu perkara sekiranya disampaikan dalam bentuk cerita lebih berkesan daripada semata-mata menyampaikannya dalam bentuk ilmu. Kita sudah melihat bagaimana buku-buku yang penulis Barat yang popular adalah buku-buku tentang ilmu pengurusan yang disampaikan dalam bentuk cerita. Ia lebih mudah difahami.

Fikirkanlah.......

Khamis, 21 Mei 2009

APA NAK JADI DENGAN PEMIMPIN KITA

Persoalan mengenai PPSMI masih lagi menjadi persoalan diperdebatkan. Pihak yang menyokong berusaha mendapatkan pengesahan dari berbagai pihak sehingga ke kanak-kanak. Pihak yang menentang banyak dari kalangan golongan cerdik pandai yang terdidik dalam bahasa inggeris. Pelik sungguh.

Mari kita melihat perkara ini dengan lebih objektif. Apakah sebenarnya yang hendak kita capai apabila kita cuba mengetengahkan bahasa inggeris ini. Kalau ikutkan perkara yang sebenar ianya bermula apabila mantan PM kita melihat pegawai awam kita yang tidak pandai berkomunikasi dalam bahasa inggeris di luar negeri. Sekali lagi, di luar negeri bukannya dalam negeri. Dengan peristiwa itu beliau mengambil keputusan untuk menjadikan pengajaran bahasa inggeris dipertingkat tetapi dengan menggunakan medium sains dan matematik. Pelik sungguh. Ingatkan sebab tidak pandai ilmu sains dan matematik.

Tidak mungkin mantan PM menghadiri seminar/koferens pembentangan kajian sains. Sudah tentu yang dihadirinya adalah dalam konteks politik. Perbincangan peringkat pentadbiran sesuatu negara. Apa kena mengena sains dan metamatik dengan politik. Agaknya beliau fikir sains politik sama dengan sains tulin. Pelik sungguh.

Politik punya pasal, sains dan matematik menjadi mangsa.

Agak-agak semua yang cuba membincangkan isu ini faham ke apa yang mereka bincangkan. Maksud saya apa implikasinya apabila PPSMI dilaksanakan. Apakah kesannya pada bangsa Melayu atau bangsa-bangsa lain. Apakah kesannya pada negara Malaysia. Apakah kesannya kepada kemajuan negara ini.

Kalau setakat fasihnya sahaja apalah sangat isunya.

Apa yang kita mahu apabila PPSMI dilaksanakan.

Pandai berbahasa inggeris?

Senang dapat kerja sebab pandai bahasa inggeris?

Senang dapat kerja di luar negara sebab pandai berbahasa inggeris?

Nampak hebat di mata dunia kerana boleh berbahasa inggeris?

Menambahkan yakin diri kerana boleh berbahasa inggeris?

Lebih maju?

Dengan PPMSI kita boleh berbahasa inggeris, betul ke?

Fikirkanlah?..................

Rabu, 20 Mei 2009

MINATNYA BELI BUKU

Buku yang dibeli semasa Pesta Buku KL

  1. Rahsia Blogger - Truewealth Publishing
  2. Rindu Bau Pohon Tin - Galeri Ilmu
  3. Eksploitasi Peluang Menjadi Wang - Truewealth
  4. Ke-mana Wang Anda - Galeri Ilmu
  5. Travelog Iran - PTS Millenia S/B
  6. Keberanian Menggapai Harapan - ITNM
  7. ESQ Power
  8. Everyday Greatness - Thoma Nelson
  9. Lexus dan Pokok Zaitun - ITNM
  10. Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain - PTS Millenia S/B
  11. Kenapa Allah Murka - Ecportal Dot Biz
  12. Fiqh Ekonomi Islam - Blue-T
  13. Fiqh Keutamaan - Blue-T
  14. Fiqh Kenegaraan - Blue-T

SATU LAGI PARTI PERKAUMAN DITUBUHKAN

Pada hari ini HINDRAF yang bukan pertubuhan politik telah menubuhkan parti politik. Masih berasaskan perkauman. Nampaknya rakyat Malaysia masih lagi tidak belajar dari sejarah. Dengan adanya pertubuhan perkauman benar-benarkah akan dapat memperjuangkan kaumnya. Sejarahnya tidak begitu. Apa yang berlaku ianya akan bersilang dengan perjuangan individu.

Asasnya penubuhan adalah perkauman, maka akan masuklah unsur-unsur peribadi. Berbeza dengan PAS, walaupun nampak seperti parti kaum tetapi hakikatnya tidak. Mereka telah diikat dengan perjuangan yang tidak berasaskan perkauman. Asas mereka adalah Islam yang mengajar untuk memberi keadilan kepada semua umat manusia.

Kalau kita tidak nampak ciri-ciri keantarabangsaan PAS, bukan bermakna Islam yang dipegang itu salah tetapi individu yang ada di dalam PAS. PAS akan tetap sampai ke asas perjuangan sejagat kerana asasnya tidak diubah. Perubahannya akan menuju ke arah yang lebih baik seperti yang terlihat sekarang.

Fikirkanlah.....................

Sabtu, 2 Mei 2009

ISU PERKAUMAN MAINAN SIAPA?

Rakyat selalu menyalahkan UMNO dalam isu perkauman. UMNO di katakan sebagai penyebab perasaan perkauman semakin marak. Benarkah? Bolehkah sesesorang menimbulkan soal perkauman sekiranya tidak merasakan kedudukan kaumnya sedang tergugat.

Perasaan perkauman ini bukan dimulakan semata-mata oleh UMNO tetapi adalah sesiapa yang berada dalam BN. Kita perlu meneliti sejarah penubuhan negara untuk memahami isu ini. Bagaimana mulanya. Tidakkah sejarah memberi kita fahaman kenapa sesuatu perkara boleh berlaku.

Kita lihat sejarah bagaiman BN itu ditubuhkan. Ia bermula dengan Parti Perikatan. Asas penubuhan mereka adalah untuk menjaga kepentingan kaum masing-masing. Maka sebab itu parti-parti komponen yang menganggotai PP adalah parti-parti yang berasas akan perkauman. UMNO mewakili bangsa Melayu. MCA mewakil bangsa Cina. MIC wewakili bangsa India.

Premis awal pembentukkan mereka adalah perkauman. Sudah tentulah masing-masing akan cuba menjadi juara dan sentiasa membela kaum masing-masing.

Tidak hairanlah sekiranya boleh timbul isu Timbalan Perdana Menteri dari berbagai kaum. Tidak hairanlah juga apabila ada permintaan supaya kuota Melayu dalam ASW dibuka kepada bukan Melayu. Berbagai-bagai lagi isu perkauman ditimbulkan atas dasar cemburukan orang lain.

Kesalahan wujudnya perkauman adalah atas BN bukan atas UMNO. Kesemua komponen dalam BN hendaklah dipertanggungjawabkan wujudnya perasaan perkauman yang makin marak.

Itu sebab susahnya kita hendak melihat komponen parti perkauman dalam BN meninggalkan BN kerana asas pembentukkan mereka adalah perkauman. Dengan meninggalkan BN mereka mesti meninggal kan premis perkauman ini. Maka mereka tidak dapat lagi memperjuangkan hak kaum mereka. Mereka tidak tahu untuk memperjuangkan hak tanpa mengira kaum.

Kalau mereka mempunyai pegangan untuk memperjuangkan hak semua kaum, tidak mungkin mereka akan terus bersama BN.

Tentu keadaan akan berlainan sekiranya premis pembentukkan BN adalah keadilan. Keadilan untuk semua kaum.

Fikirkanlah………..

Khamis, 30 April 2009

TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN PERUBAHAN YANG DI BAWA

Teknologi maklumat tanpa kita sedari telah membawa perubahan kepada organisasi yang nelaksanakannya. Saya baru-baru ini cuba menghubungi JDP untuk mengatur satu lawatan sambil belajar. Sebenarnya saya telah diamanahkan dengan beberapa orang rakan untuk merekabentuk kursus baru. Kursus ini dijadualkan untuk dilaksanakan pada bulan Disember.

Beberapa kali saya cuba hubungi pegawai berkenaan dengan menggunakan teknologi lama iaitu telefon, tetapi tidak juga dapat dihubungi. Masa semakin suntuk, saya hanya ada masa seminggu sahaja lagi sebelum lawatan. Pemilihan tarikh lawatan adalah suatu perkara yang sukar hendak ditetapkan kerana rakan-rakan saya ada komitmen lain yang perlu penuhi.

Pilihan lain saya mengunakan e-mel untuk menghubungi pegawai berkenaan. Sebelum itu saya perlu menyemak pengkalan data untuk memastikan pegawai berkenaan adalah pegawai yang saya ingin hubungi. E-mel dihantar pada waktu pagi. Sebelum tengahari saya telah mendapat jawapan persetujuan.

Pada sangkaan saya dengan menghubungi beliau melalui telefon adalah lebih mudah saya menerangkan maksud dan tujuan. Nampaknya dengan tulisan sahaja sudah mencukupi untuk menerangkannya. Tambahan pula menggunakan teknologi maklumat maka lebih lagi mudahnya.
Sebelum wujudnya teknologi maklumat kerja seperti ini perlu kita lakukan lebih awal lagi. Kita tidak dapat menjangkakan masalah yang mungkin timbul. Sekiranya tidak dapat diselesaikan dengan segera kita mesti menggunakan kaedah lain untuk menyelesaikannya.

Kita mungkin terpaksa berkunjung ke tempat berkenaan sekadar untuk memberitahu maksud dan tujuan kita. Bayangkan berapa banyak kos yang terpaksa kita tanggung. Kos masa, di mana masa tersebut boleh digunakan untuk melakukan tugasan lain. Kos kewangan, penggunaan kenderaan. Kos tenaga, yang boleh digunakan untuk tugasan lain.

Mungkin juga kita akan gunakan kaedah surat menyurat yang kita tahu akan menghadapi banyak risiko. Risiko surat tidak sampai. Jawapan yang memerlukaan masa yang lebih panjang.

Kedatangan teknologi maklumat yang digunakan sebaik-baiknya memberi manafaat yang terlalu besar. Ia membantu meningkatkan produktiviti, dengan masa akan banyak dapat ditumpukan untuk melakukan perkara lain yang dapat menambahkan produktiviti.

Fikirkanlah..........

Rabu, 29 April 2009

KUAT BURUNG PADA SAYAPNYA, KUAT KETAM PADA SEPITNYA

Kata-kata indah bangsa Melayu amat banyak nilai yang dapat kita pelajari dan jadikan sebagai pegangan hidup. Malangnya bangsa Melayu sendiri menafikan akan kehebatannya. Atau yang menafikan ini bukan bangsa Melayu tulin. Maka mereka tidak ambil indah akan keindahan bahasa Melayu.

Marilah kita renungkan peribahasa di atas. Dalam dunia binatang kita dapati setiap jenis mempunyai kekuatan yang berlainan. Kelainannya terletak pada fizikalnya.

Bagaimana pula dengan manusia. Di mana kekuatannya. Bolehkah kita nampak seperti pada binatang. Manusia ada kekuatannya tetapi tidak nampak seperti binatang.

Kita bukan hendak mencari di mana kekuatan manusia. Tetapi memahami kekuatan manusia agar boleh dimanafaatkan dengan sebaik-baiknya.

Hendaklah kita fahami bahawa setiap manusia mempunyai kekuatan yang berlainan. Tidak ada istilah yang meletak sesuatu kekuatan lebih tinggi dari yang lain. Setiap kekuatan mempunyai kelebihan yang berbeza.

Sebuah organisasi hendaklah memanafaatkan setiap kekuatan yang ada pada stafnya. Kenalpasti kekuatan yang ada pada setiap stafnya. Jangan hanya memandang pada satu kekuatan yang kita suka sahaja.

Ia hanya akan merugikan organisasi.

fikir-fikirkanlah..........

Isnin, 20 April 2009

ALAT PERTUKANGAN DALAM PENGURUSAN

Ilmu pengurusan adalah penting. Tidak ada siapa yang boleh mengatakan bahawa pengurusan tidak penting. Pengurusan adalah satu alat yang digunakan untuk mencapai sesuatu matlamat organisasi. Sebagaimana alat pertukangan digunakan untuk membuat perabut yang akan menjadi daya tarikan kepada pembelinya.

Apa gunanya alat pertukangan yang diketahui fungsinya setiap satu tetapi tidak diketahui bagaimana ianya boleh digunakan untuk membuat perabut yang menarik. Bolehkah penjual alat pertukangan mengajar cara membuat perabut yang menarik. Mereka hanya boleh mengajar cara menggunakan alat pertukangan sahaja. Mereka tidak dapat mengajar cara untuk menggunakan alat tersebut untuk menghasilkan perabut yang menarik.

Hanya pembuat perabut sahaja yang tahu bagaimana menggunakan alat tersebut untuk menghasilkan perabut yang menarik. Hanya pembuat perabut sahaja yang dapat mengajar bagaimana menggunakan alat tersebut untuk menghasilkan perabut yang menarik.

Kalau pengurusan sebagai alat, begitulah juga sifatnya. pengurusan yang diajar oleh orang yang hanya tahu fungsinya sahaja, tidak memberi sebarang makna kepada organisasi. Hanya teori yang tidak berguna. Mampukah pendengar menggunakan alat pengurusan kalau tidak ditunjukkan caranya.

Maka biarlah pembuat perabut mengajar pembuat perabut yang lain. Maka biarlah yang mengajar penggunaan teori pengurusan adalah pengurus yaang sama bidang. Barulah produktivitinya nampak.

Fikirkanlah.............

PESTA BUKU KEMANA HALATUJUNYA

Pada hari sabtu yang lepas saya berpeluang mengunjungi pesta buku. Pada asalnya, dirancang saya pergi bersama anak-anak. Acik anak lelaki yang sedang belajar di tingkatan 6 Atas menghadiri kem BTN khusus untuk pelajar tingkatan 6. Fathin anak perempuan yang sedang belajar di Sekolah Teknik Sepang dalam tingkatan 4, mempunyai kerja sekolah yang perlu diselesaikan. Husna anak bongsu yang akan mengambil UPSR pula menghadiri sesi persekolahan ganti.

Sungguhpun begitu senarai buku yang ayahnya perlu beli telah mereka berikan. Pergilah saya dengan menyandang beg. Menaiki komuter dan LRT. Sampai sahaja di PWTC, pesta buku telah pun dibuka. Kerana sudah biasa dengan suasana pesta buku saya terus sahaja ke tingkat atas kerana ia adalah tingkat utama ikut kebiasaannya. Saya mencari-cari gerai PTS. Berpusing-pusing sehingga penat tapi tidak juga di jumpai. Ikut perancangan saya akan membeli buku di PTS pada awal pagi di mana biasanya pengunjung belum ramai.

Berpusing-pusing mencarinya amat memenatkaan bagi yaang sudah berumur seperti saya. Jumpalah juga akhirnya. Kedudukannya adalah ditingkat bawah, tingkat mula-mula saya temui. Benar jaangkaan saya pengunjung sudah terlalu ramai terutama pelajar sekolah. Bergerak pun susah.

Ternampak tuan Shamsudin. Walaupun dekat tetapi sesaknya sehingga susah hendak bergerak. Saya ambil keputusan untuk ke gerai lain dahulu.

Semasa saya berpusing balik barulah ada ruang untuk masuk memilih buku. Malangnya buku-buku yang dicari tidak ada. Saya sambar sahaja buku yang ada. Membayar pula satu kerja yang juga memenatkan.

Gerai yang diagihkan kepada PTS sememangnya tidak sesuai dengan taraf PTS. Maksud saya visi PTS untuk memandaikan bangsa dan juga jumlah buku yang telah diterbitkan oleh PTS adalah banyak. Saya hairan kenapa PTS diperuntukan gerai yang sedikit tidak padan sebagai sebuah penerbitan yang besar dan visi yang besar.

Gerai yang diberikan kepada Karangkraf amat banyak dan mengikut berita di dalam surat khabar sebanyak 35 gerai. Sedangkan PTS hanya mendapat 7 gerai. Pada pengamatan saya Karangkaraf banyak menerbitkan majalah sahaja. Buku-buku hanyalah buku novel. Tidak hairan apabila saya berada di gerai Karangkraf saya mudah bergerak kerana ruang yang besar dan luas. Pengunjungnya lebih tertumpu ke gerai novelnya.

Saya tertanya juga apakah kriteria penganjur. Adakah untuk sekadar mengadakan pesta seperti mana pesta lain tanpa matlamat yang jelas. Atau ada unsur politik.

Saya rasa sayang sekali kerana tiada penerbit yang menerbit buku-bukunya berdasarkan semata-mata kehendak pelanggan. PTS berbeza, mereka cuba mempelbagaikan penerbitan, tetapi mereka memastikan ia tidak membodohkan bangsa.

Saya memborong semua buku di bawah kategori Usahawan Cilik. Saya tidak pernah melihat mana-mana penerbit yang sanggup mengeluarkan buku seperti ini. Buku ini menjadi motivasi utuk berjaya.

Majoriti bangsa yang mengunjungi pesta ini adalah Melayu. Nampak BN berjaya menyebabkan bangsa bukan Melayu tidak berminat dengan bahasa Melayu.

Fikirkanlah.................

APA AKAN JADI PADA BANGSA MELAYU APABILA TIDAK ADA LAGI YANG BOLEH BAHASA MELAYU

UMNO ditubuhkan di Johor oleh datuknya orang Johor kerana cintakan bangsa Melayu yang akan ditelan oleh penjajah. Beliau tidak mahu bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu terhapus.

Tidak mustahil bangsa Melayu terhapus di sebabkan oleh orang Johor. Oleh cucu yang datuknya mempertahankan bangsa Melayu. Hilang bahasa Melayu hilanglah bangsa Melayu.

DBP,PTS dan yang seangkatan akan turut terkubur kerana tiada lagi orang Melayu yang akan berminat membaca buku berbahasa Melayu. Manusia kalau cinta dunia begitulah jadinya.

Fikirkanlah...........

Khamis, 19 Mac 2009

KUALITIKAH PERKHIDMATAN KITA

Bagaimanakah kita hendak membudayakan sikap peka dan sentiasa berusaha memperhati dan memenuhi kehendak pelanggan. Perkhidmatan yang berkualiti hanya boleh dapat dicapai apabila pelanggan berpuashati dengan perkhidmatan yang diterimanya. Persepsi kualiti adalah persepsi pelanggan bukan persepsi pemberi perkhidmatan.

Kita selalu suka syok sendiri dengan melihat nilai kualiti dari sudut pandangan kita. Sekiranya pelanggan tidak menilainya sebagai berkualiti kita rasa tidak gembira dan sukar menerimanya.

Kita tidak boleh berkata ini peraturan yang ada, anda bertanggungjawab atau dikehendaki mengikutinya. Kita tidak boleh berkata anda menerima perkhidmatan yang buruk ini adalah kerana anda tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. Apakah benar mereka tidak mahu mematuhi peraturan. Atau peraturan itu tidak mesra pelanggan.

Budaya memberi perkhidmatan berkualiti ini mestilah bermula dari dalam organisasi. Pelanggan bukan hanya terhad kepada orang luar yang mendapatkan perkhidmatan kita.

Pelanggan adalah orang yang ada urusan dengan kita dan mereka berkehendakkan perkhidmatan kita. Maka sesuatu unit dalam organisasi boleh menjadi pelanggan kepada unit lain dalam organisasi.

Perkhidmatan kepada pelanggan dalaman ini menjadi kayu pengukur sejauh manakah kemampuan kita bersedia memberi perkhidmatan berkualiti. Dapat memuaskan hati pelanggan dan memberi persepsi yang perkhidmatan kita adalah berkualiti.

Sekiranya kita mampu mempraktikkan budaya ini dalam organisasi, memberi perkhidmatan berkualiti pada siapa sahaja dan setiap masa maka sudah tentu kita dapat memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan luar.

Perkhidmatan yang berkualiti dapat dicapai apabila kita melakukan sesuatu di luar kebiasaan, bukan sekadar mengikut peraturan yang ada sahaja.

Kita hanya tahu mengadakan peraturan tetapi kita tidak mengadakan jalan-jalan untuk memudahkan pelanggan kita memamtuhi peraturan. Kita hanya bersifat menghukum.

Kita ambil contoh mudah, pembayar cukai dikehendaki mematuhi undang-undang membayar cukai. Sekiranya gagal mereka akan dikenakan hukuman oleh mahkamah mengikut oeruntukan undang-undang.

Bolehkah kita mendapat pengiktirafan sebagai organisasi yang berkualiti sekiranya kita minta pembayar cukai mematuhi undang membayar cukai tanpa mempermudahkan cara-cara mereka membayar cukai.

Dengan hanya menguatkuasakan undang-undang kita mungkin tidak memerlukan pada pertambahan staf. Kita tidak perlu pada pertambahan kos operasi. Sepatutnya kita tidak perlu bersusah payah melakukannya. Cukup sekadar menggunakan peruntukkan undang-undang.

Kita boleh melakukannya apabila berpegang kepada nilai kualiti adalah nilai yang tentukan berdasarkan pandangan kita.

Malangnya persepsi kualiti bukannya datang dari kita tetapi dari pelanggan. Maka kita perlu mendapatkan maklumat dari pelanggan bagaimana perkhidmatan berkualiti daripada pandangan mereka yang dapat membuat mereka membayar cukai secara sukarela.

Begitu juga dengan pengemukaan borang cukai pendapatan. Tidak cukup dengan penguatkuasaan undang-undang.

Jalan ke arah pematuhan undang-undang hendaklah dipermudahkan. Undang-undang dapat dikekalkan, tahap pematuhan meningkat.

Kepekaan terhadap kualiti perkhidmatan dan keperluan pelanggan maka kita wujudnya Bulan Perkhidmatan Pembayar Cukai (BPPC). Kita mudahkan cara pembayaran cukai dengan mengadakan kerjasama dengan bank-bank.

Tahap pematuhan pembayar cukai meningkat.

Malangnya kita hanya peka dengan pelanggan luar sahaja. Pelanggan dalam kita abaikan. Sekiranya sikap ini berterusan tidak hairanlah kita akan hilang nilai perkhidmatan yang berkualiti, kerana hanya sebahagian yang menjiwainya.

Kita ambil contoh kad perakam waktu. Adalah menjadi peraturan untuk mendapatkan tanda tangan apabila kita selesai dalam sesuatu urusan di luar pejabat. Sekiranya staf tidak mematuhinya adakah cukup dengan mengatakan kamu telah melanggar undang-undang.

Mungkin staf benar-benar telah lupa untuk mematuhi peraturan. Apakah susahnya petugas menyemak kad tersebut dan memaklumkan kepada yang berkenaan. Bukankah itu nilai perkhidmatan yang berkualiti. Membantu mempermudahkan staf mematuhi peraturan.

Jangan hanya sampaikan perkhidmatan luarbiasa itu hanya kepada rakan-rakan rapat sahaja. Panjang-panjang perkhidmatan itu kepada bukan rakan (tetapi adalah pelanggan kita yang memerlukan perkhidmatan berkualiti kita, yang akan memberi persepsi mereka terhadap perkhidmatan kita) dengan niat memberi perkhidmatan yang berkualiti.

Hormati pelanggan dalaman kita. Jangan fikir kebiasaan itu adalah satu perkara yang terbaik untuk kita amalkan. Kadang-kadang perkara yang terbaik itu dari orang yang kita sangka tidak ada apa-apa.

Fikirkanlah.......

Rabu, 18 Mac 2009

Konsep Zakat Dalam Mengatasi Kemelut Ekonomi Dan Sosial

Kita biasa melihat bagaimana berkembangnya sistem kewangan Islam pada masa kini. Kita tidak terfikir bahawa akan wujudnya sistem kewangan Islam pada hayat kita. Sememangnya telah wujud dan diterima oleh bukan sahaja orang Islam tetapi mendapat sambutan juga dari orang bukan Islam.

Konsep-konsep yang digunakan dalam sistem kewangan Islam adalah sangat berbeza dari konsep dalam sistem kewangan konvensional. Sistem kewangan konvensional menekankan kepada sistem riba. Konsep kewangan Islam menekankan kepada konsep perdagangan.

Konsep yang digunakan dalam sistem kewangan Islam telah dikembangkan kepada industri insuran. Ia menjadi satu fenomena yang cukup menarik.

Zakat adalah satu lagi konsep yang ada di dalam Islam yang belum benar-benar dibuat kajian. Kajian hanya dilakukan untuk membandingkan zakat dan sistem percukaian yang ada.

Pernahkah kita terfikir kenapa kadar zakat begitu rendah. Namun begitu kutipan zakat semakin bertambah setiap tahun. Apakah kadar besar akan menjamin kutipan lebih banyak seperti yang berlaku dalam sistem percukaian kini.

Konsep zakat yang dapat kita lihat seperti kadar yang dikenakan, jumlah pendapatan yang layak dizakat, kaedah pengiraan jumlah layak zakat adalah suatu yang menarik untuk dibuat kajian.

Mungkinkah Allah swt hanya semata-mata menurunkan kewajiban zakat kepada umat Islam. Tidakkah kaedah pelaksanaan zakat itu adalah menjadi sebagai panduan bagi kita melaksanakannya dalam bidang lain.

Fikir-fikirkanlah............

Ahad, 8 Februari 2009

Alahai orang kita........

Zaman telah berubah, peristiwa yang berlaku berada di hujung jari (internet). Peristiwa yang berlaku boleh tersebar dalam tempoh yang singkat (beberapa saat sahaja). Tidak ada apa-apa yang dapat disembunyikan.

Perkara yang tidak di fahami boleh di perolehi melalui hujung jari. Ramai di luar sana yang berusaha untuk memberi kefahaman atau cuba menyampaikan apa yang mereka fahami. Kalau dahulu sesuatu ilmu / pengetahuan adalah menjadi milik orang tertentu sahaja. Mereka mempunyai kuasa untuk memberi kefahaman dan mereka juga di anggap sebagai orang yang mengetahui segala-segalanya.

Zaman sudah berubah. Kita pun hendaklah turut berubah. Kalau tidak, kita akan jadi kera sumbang. Bukan sahaja tidak di terima tetapi juga diperlekehkan. Ilmu kita tidak akan di hormati, apatah lagi diri kita.

Kalau kita mahu orang lain mematuhi undang-undang dan perlembagaan maka kita patutnya memberi contoh kepada mereka. Jangan kita rasa kesal sekiranya orang tidak mematuhi saranan kita (walau sebesar mana pun kita).

Senang sahaja untuk mematuhi undang-undang dan perlembagaan. Tetapi ianya menjadi sukar apabila kita mempunyai kepentingan peribadi melebihi kepentingan umum. Ianya menjadi sukar apabila kita merasakan kita cukup berkuasa dan mengatasi orang lain.

Zaman sudah berubah, tetapi ada orang yang tetap tidak berubah. Tidak boleh berfikir. Orang lain tolong fikirkan untuk mereka. Jadilah mereka sebagai pak turut, gajah di seberang yang tidak mendatangkan masalah boleh pula nampak, tetapi kuman di depan mata yang membawa penyakit tidak pula boleh nampak.

Inilah masalah orang kita, mereka boleh menerima pencuri yang mereka kenal baik daripada menerima orang yang wara' yang baru di kenali. Mereka risaukan orang wara' belum menyeleweng yang mungkin akan menyeleweng. Mereka tidak risau pun pencuri yang tidak pernah berhenti mencuri dan masih lagi mencuri.

Maknanya mereka pun pencuri juga.

Inilah jadinya apabila kita ada orang yang merasakan mereka mempunyai kuasa tanpa batasan yang tiada siapa dapat menghalang dan nyawa yang mereka berhak untuk tentukan bila perlu dicabut.

Inilah jadinya apabila kita ada orang yang menggunakan kepala lutut daripada kepala sebenar. Kepala lutut tidak payah berfikir, ikut sahaja apa orang lain kata.

Fikirkanlaah.................kita nak jadi apa.

Selasa, 3 Februari 2009

BAHASA JIWA BANGSA

Bahasa Jiwa Bangsa. Kata keramat ini sudah lama ada dalam kamus bahasa Melayu. Dengan tiga patah perkataanlah membayangkan kesemuanya. Sekiranya kita perhatikan bahasa seseorang itu dapat menggambarkan jiwa seseorang.

Apabila ia mula menggunakan bahasa yang bukan bahasa bangsanya ia akan mempunyai sikap yang berbeza. Ia mestilah mempunyai jiwa bangsa tersebut untuk memahami bahasanya dengan berkesan. Maka tidak dapat dielakkan apabila hilang bahasa ibunda bangsa tersebut akan hilanglah juga jiwa bangsa tersebut

Hilang jiwa bangsa maka hilang bangsa tersebut.

Mana ada peribahasa diterjemahkan. Apa yang dilakukan adalah menggunakan peribahasa yang mempunyai maksud yang sama kepada bahasa yang kita gunakan. Tidak ada peribahasa Melayu yang digunakan apabila kita menggunakan bahasa Inggeris.

Inilah jadinya apabila kita berketuakan orang yang terdidik dengan bahasa bukan ibundanya. Jiwa bangsanya tidak ada lagi.

Fikirkanlah.........

Khamis, 8 Januari 2009

LAPORAN PRESTASI

Awal tahun adalah masa yang sibuk dengan persoalan laporan prestasi. Sekali lagi seperti tahun-tahun lepas kita akan menyaksikan rasa ketidakpuasan terhadap penilaian yang akan diterima oleh masing-masing.

Kenapa perkara ini sentiasa berulang setiap tahun. Pernah kita cuba memahami dan mencari jalan penyelesaiannya. Atau kita hanya akan melihatnya dengan sebelah mata sahaja. Kita menganggap ianya sebagai perkara yang tidak perlu diberi perhatian. Biasalah, orang yang tidak cemerlang, pemalas, degil dan tidak mahu menerima hakikat bahawa prestasi mereka rendah.

Apakah mereka pernah memikirkan, mereka benar-benar seorang yang berkebolehan untuk menilai orang lain. Atau apakah kriteria yang digunakan benar-benar dapat memberi penilaian yang benar dan adil. Bagaimanakah seorang yang tidak pernah mengajar boleh memberi penilaian kepada seorang yang kerjanya mengajar.

Dapatkah ia menghayatinya untuk mampu memberi satu penilaian.