Ahad, 8 Februari 2009

Alahai orang kita........

Zaman telah berubah, peristiwa yang berlaku berada di hujung jari (internet). Peristiwa yang berlaku boleh tersebar dalam tempoh yang singkat (beberapa saat sahaja). Tidak ada apa-apa yang dapat disembunyikan.

Perkara yang tidak di fahami boleh di perolehi melalui hujung jari. Ramai di luar sana yang berusaha untuk memberi kefahaman atau cuba menyampaikan apa yang mereka fahami. Kalau dahulu sesuatu ilmu / pengetahuan adalah menjadi milik orang tertentu sahaja. Mereka mempunyai kuasa untuk memberi kefahaman dan mereka juga di anggap sebagai orang yang mengetahui segala-segalanya.

Zaman sudah berubah. Kita pun hendaklah turut berubah. Kalau tidak, kita akan jadi kera sumbang. Bukan sahaja tidak di terima tetapi juga diperlekehkan. Ilmu kita tidak akan di hormati, apatah lagi diri kita.

Kalau kita mahu orang lain mematuhi undang-undang dan perlembagaan maka kita patutnya memberi contoh kepada mereka. Jangan kita rasa kesal sekiranya orang tidak mematuhi saranan kita (walau sebesar mana pun kita).

Senang sahaja untuk mematuhi undang-undang dan perlembagaan. Tetapi ianya menjadi sukar apabila kita mempunyai kepentingan peribadi melebihi kepentingan umum. Ianya menjadi sukar apabila kita merasakan kita cukup berkuasa dan mengatasi orang lain.

Zaman sudah berubah, tetapi ada orang yang tetap tidak berubah. Tidak boleh berfikir. Orang lain tolong fikirkan untuk mereka. Jadilah mereka sebagai pak turut, gajah di seberang yang tidak mendatangkan masalah boleh pula nampak, tetapi kuman di depan mata yang membawa penyakit tidak pula boleh nampak.

Inilah masalah orang kita, mereka boleh menerima pencuri yang mereka kenal baik daripada menerima orang yang wara' yang baru di kenali. Mereka risaukan orang wara' belum menyeleweng yang mungkin akan menyeleweng. Mereka tidak risau pun pencuri yang tidak pernah berhenti mencuri dan masih lagi mencuri.

Maknanya mereka pun pencuri juga.

Inilah jadinya apabila kita ada orang yang merasakan mereka mempunyai kuasa tanpa batasan yang tiada siapa dapat menghalang dan nyawa yang mereka berhak untuk tentukan bila perlu dicabut.

Inilah jadinya apabila kita ada orang yang menggunakan kepala lutut daripada kepala sebenar. Kepala lutut tidak payah berfikir, ikut sahaja apa orang lain kata.

Fikirkanlaah.................kita nak jadi apa.

Selasa, 3 Februari 2009

BAHASA JIWA BANGSA

Bahasa Jiwa Bangsa. Kata keramat ini sudah lama ada dalam kamus bahasa Melayu. Dengan tiga patah perkataanlah membayangkan kesemuanya. Sekiranya kita perhatikan bahasa seseorang itu dapat menggambarkan jiwa seseorang.

Apabila ia mula menggunakan bahasa yang bukan bahasa bangsanya ia akan mempunyai sikap yang berbeza. Ia mestilah mempunyai jiwa bangsa tersebut untuk memahami bahasanya dengan berkesan. Maka tidak dapat dielakkan apabila hilang bahasa ibunda bangsa tersebut akan hilanglah juga jiwa bangsa tersebut

Hilang jiwa bangsa maka hilang bangsa tersebut.

Mana ada peribahasa diterjemahkan. Apa yang dilakukan adalah menggunakan peribahasa yang mempunyai maksud yang sama kepada bahasa yang kita gunakan. Tidak ada peribahasa Melayu yang digunakan apabila kita menggunakan bahasa Inggeris.

Inilah jadinya apabila kita berketuakan orang yang terdidik dengan bahasa bukan ibundanya. Jiwa bangsanya tidak ada lagi.

Fikirkanlah.........

Khamis, 8 Januari 2009

LAPORAN PRESTASI

Awal tahun adalah masa yang sibuk dengan persoalan laporan prestasi. Sekali lagi seperti tahun-tahun lepas kita akan menyaksikan rasa ketidakpuasan terhadap penilaian yang akan diterima oleh masing-masing.

Kenapa perkara ini sentiasa berulang setiap tahun. Pernah kita cuba memahami dan mencari jalan penyelesaiannya. Atau kita hanya akan melihatnya dengan sebelah mata sahaja. Kita menganggap ianya sebagai perkara yang tidak perlu diberi perhatian. Biasalah, orang yang tidak cemerlang, pemalas, degil dan tidak mahu menerima hakikat bahawa prestasi mereka rendah.

Apakah mereka pernah memikirkan, mereka benar-benar seorang yang berkebolehan untuk menilai orang lain. Atau apakah kriteria yang digunakan benar-benar dapat memberi penilaian yang benar dan adil. Bagaimanakah seorang yang tidak pernah mengajar boleh memberi penilaian kepada seorang yang kerjanya mengajar.

Dapatkah ia menghayatinya untuk mampu memberi satu penilaian.

Rabu, 10 Disember 2008

Fatwa Yoga, Kita Ini Reakrif @ Proaktif

Isu fatwa yoga membawa kepada 2 implikasi. Implikasi pada umat Islam dan implikasi kepada bukan Islam. Kita perlu melihat perkara ini dengan lebih munasabah bukan dengan emosi.

Umat Islam apabila menentang fatwa ini menggambarkan kejahilannya. Adanya umat Islam yang masih jahil bererti ada yang tidak beres dari sudut da'wah itu sendiri.

Kalau tidak pandai membaca kita tahu ada sesuatu masalah dalam sistem pendidikan. Berbagai usaha dilakukan pada sistem pendidikan bukan pada pelajar. Untuk memastikan pembelajaran yang diterima dapat melahirkan pelajar yang boleh membaca. Kita tidak pernah menuduh pelajar sebagai bodoh, sampai tidak tahu membaca. Kita tidak kutuk pelajar habis-habisan.

Kita tidak marah pada pelajar tetapi kepada guru-guru yang dikatakan tidak pandai mengajar. Maka dilatihlah guru tersebut agar dapat menjadi guru yang cemerlang seterusnya dapat mendidik pelajar sehingga dapat membaca. Sekiranya tidak juga boleh membaca barulah pelajar berkenaan akan dipersalahkan kerana tidak berusaha untuk memahami pelajaran yang diajar.

Berlainan pula dalam isu fatwa ini. Kita tidak pernah mengkaji sejauhmana pemahaman orang Islam yang menentang. Sejauhmana kefahamannya tentang Islam. Sekiranya pengamalan Islamnya ada, pernahkah ditanya kenapa mereka mengamalkan yoga.

Apakah penerangan tentang yoga ini telah dibahaskan agar difahami oleh umat Islam. Sejauhmanakah umat Islam telah memahami apa dia yoga tersebut. Bagaimanakah pembahasannya dalam Islam. Mungkin lebih baik perkara ini dibiarkan dahulu untuk dibahaskan oleh cerdik pandai Islam selepas dicetuskan oleh pensyarah UKM. Dengan perbahasan mungkin sudah cukup untuk menghindari umat Islam daripada mengamalkannya.

Bukan Islam apabila menentang fatwa ini sepatutnya kita lihat dengan lebih positif. Ini menunjukkan mereka peka akan kehadiran Islam. Perkara yang hanya berkait dengan umat Islam kenapa mendapat tentang. Adakah mereka benar-benar menentang Islam. Atau adakah mereka marah kerana akan kehilangan pelanggan yang terdiri dari umat Islam. Kita bolehlah melihat dari dua sudut.

Ini adalah peluang untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang Islam. Pada masa ini mereka mungkin lebih terbuka untuk mendengar. Kita tidak boleh marah, kerana ini adalah perkara biasa bagi penganut ugama yang akan melenting apabila menyentuh soal ugama masing-masing. Kita juga akan bertindak begitu.

Sejauh manakah usaha yang kita jalankan untuk memberi kefahaman kepada bukan Islam. Kita sendiri menyatakan untuk melaksanakan Islam dinegara ini. Pernahkah kita berussaha memberi kefahaman kepada mereka agar mereka tidak menentang islam. Bagi mereka soal haram dalam Islam mungkin hanyalah babi.

Saya tertarikh dalam kes pengharaman arak oleh Allat swt. Bagaimana dimulakan dengan memberi kefahaman tentang keburukan arak dengan akhirnya diharamkan. Bukankah ada pengajarannya.

Marilah kita fikirkan, kita proaktif @ reaktif. Fikirkanlah........

Selasa, 2 Disember 2008

Pemimpin@Leader@Pengurus@Pengarah@Penyelia

Samakah kesemua istilah tersebut? Sekiranya sama kenapa digunakan pada orang yang berbeza tanggungjawab. Berbeza jawatan.
Kenapa pemimpin/leader/pengarah diberikan kepada seorang yang mengetuai golongan manusia yang ramai. Golongan orang yang berbagai tingkat jawatan. Kenapa tanggungjawab mereka meminpin sebuah organisasi.
Sedangkan penguru/penyelia bertanggungjawab memimpin sebuah unit dalam organisasi. Mereka bertanggungjawab untuk memastikan sesuatu projek dilaksanakan dengan jayanya.
Seorang pemimpin bertanggungjawab untuk memastikan pengurus dibawahnya melaksanakan apa kehendak organisasi. Sememangnya ada perbezaan antara keduanya. Hasilnya adalah berbeza.
Seorang pengurus hasilnya adalah produk. Seorang pemimpin hasilnya manusia yang mampu menjadi pengurus/pemimpin.
Seorang pemimpin yang tidak dapat menunjukkan orang bawahnya untuk menjadi seorang pemimpin, bukanlah seorang pemimpin. Beliau gagal menjadi seorang pemimpin. Kegagalan orang bawahnya menjadi seorang pemimpin megambarkan kegagalannya untuk memimpin.
Saya hairan dengan setengah pemimpin yang boleh mengatakan bahawa tidak ada seorang pun orang bawahnya yang seramai 20 orang boleh diketengahkan sebagai seorang pemimpin. Mungkinkah sekiranya telah dilatih tidak ada seorang pun daraipada 20 orang yang dapat diketengahkan. Kalau begitu pemimpin yang lebih atas seharusnya memikirkan samada pemimpin ini layak untuk memimpin.
Orang seperti ini hanya akan merosak organisasi kerana dia telah merosakkan ahli organisasi itu sendiri.
Fikirkan..........

Isnin, 1 September 2008

McDonald's apakah rahsia senyumannya.

Sejak saya terlibat dengan ISO saya menjadi cukup minat dengan isu berkenaan kualiti. Tambahan pula tesis sarjana saya berkenaan kualiti. Persoalan kualiti bagi saya amatlah penting. Ianya bukan sahaja penting dalam kerjaya kita tetapi juga dalam apa jua perkara yang kita lakukan dalam kehidupan kita.

Minggu ini saya sedang membaca buku McDonald's Behind The Arches, belum habis. Tidak saya pasti sama ada boleh dihabiskan atau tidak. Biasanya apabila saya bertemu buku yang lebih menarik saya akan mengenepikannya buat sementara. Walau bagaimana pun saya perlu menghabiskannya kerana buku ini dipinjam dari pusat sumber. Tebalnya 471 muka surat.

Persoalan restoran makanan segera ini amat menarik untuk kita kaji. Saya kagum bagaimana pekerja-pekerjanya boleh kekal senyum dan melayan pelanggan dengan baik sepanjang masa. Kita tidak melihat tanda-tanda mereka bosan atau marah. Kita juga jarang atau tidak ada langsung menemui pelanggan yang marah dengan perkhidmatan mereka.

Apakah yang menyebabkan mereka kekal memberi layanan yang baik sepanjang masa. Apakah suasana tempat kerja yang mempengaruhi. Atau cara makanan disediakan yang menyebabkan boleh memberi layanan yang pantas. Atau pelanggan yang datang semuanya bersopan santun.Atau proses kerja yang mudah dan tidak banyak kerenah.

Mana satukah yang datang dahulu. Layanan yang baik menyebabkan pelanggan bersopan santun. Atau pun pelanggannya semua yang bersopan santun maka pekerjanya dapat bekerja dalam keadaan yang ceria.

Sekiranya kita tahu apakah disebalik senyuman mereka, mungkinkah dapat kita gunakan untuk dilaksanakan dalam organisasi lain. Pandangan saya tidak mustahil.

Kita fikirkanlah......hasilnya akan memberi kepuasan kepada kita dan pelanggan.

Ahad, 31 Ogos 2008

Belum Mampukah Kita Menghindari Perjuangan Berasaskan Bangsa.

Sedikit masa dulu Pakatan Rakyat melalui DAP telah menukar papan tanda jalan di Kuala Lumpur kepada 3 bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina dan India. Alasannya adalah untuk menggambarkan masyarakat majmuk yang ada di Malaysia. Dengan itu perpaduan dapat ditingkatkan.

Saya tidak membantah dan sama sekali tidak menyokongnya. Kita sebagai rakyat yang mengaku taat setia kepada negara ini marilah kita melihat isu ini dengan hati yang terbuka.

Apabila kita pergi ke sesebuah negara, apakah kita akan melihat papan tanda yang ada dalam berbagai bahasa. Kebiasaannya ia akan mengikut bahasa kebangsaaan sesuatu negara. Kalau ada pun tambahan adalah bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris. Atau mungkin juga bahasa lain-lain selain bahasa Inggeris.


Adakah kepelbagaian bahasa ini digunakan untuk menggambarkan kepelbagaian bangsa atau untuk memudahkan perjalanan. Adakah kepelbagaian bahasa ini untuk warganegaranya atau pelancong luar.


Saya tertarik dengan jawapan Tuan Guru Dato Seri Haji AbdulHadi Awang pada suatu masa dulu apabila ditanya oleh kaum Cina, apakah bahasa Cina akan digunakan sebagai bahasa rasmi apabila PAS memerintah. Jawapan Tuan Guru, di negeri Cina bahasa apakah yang digunakan sebagai bahasa rasmi.


Maka bahasa rasmi adalah mengikut negara yang berkenaan. Thailand akan menggunakan bahasa Thainya, Filipina akan mengunakan bahasa Tagalognya, Peranchis akan menggunakan bahasa Peranchisnya, Britain dan USA akan menggunakan bahasa Inggeris.


Nilai bahasa yang digunakan oleh sesebuah negara adalah nilai sejagat iaitu bahasa utama negara berkenaan. Maka bahasa utama negara Malaysia adalah bahasa Melayu. Apa sahaja urusan mestilah dalam bahasa Melayu. Kecuali dalam keadaan tertentu.

Bukankah apabila Tanah Melayu hendak di merdekakan syarat-syarat kewarganegaraan adalah boleh bertutur dan memahami bahasa Melayu. Malah semua sekolah mengajar bahasa Melayu selepas merdeka termasuk juga sekolah bangsa-bangsa lain yang ada di Tanah Melayu.


Kita sudah merdeka 51 tahun mustahil ada lagi orang bukan Melayu yang tidak memahami bahasa Melayu sehingga papan tanda terpaksa ditukarkan kepada 3 bahasa.


Untuk menggambarkan masyarakat majmuk kita kena meletak juga bahasa kaum lain seperti Sikh, Iban, Kadazan, Asli, Jawa, Banjar dan sebagainya.

Sekiranya untuk pelancong, bahasa Arab juga perlu ditulis kerana Malaysia sekarang menerima banyak pelancong Arab.

Sikap yang diambil oleh DAP sebenarnya menggambarkan kedangkalan perjuangan. Mereka masih tidak jelas apa yang mereka hendak perjuangkan. Apa yang jelas adalah keadilan untuk bangsa bukan melayu, bukan keadilan bangsa Malaysia.

Kalau dibuat tinjuan pun rasanya bukan itu yang dikehendaki oleh bangsa selain Melayu. Mereka mahukan keadilan untuk mereka sebagai bangsa bukan Melayu yang telah menumpahkan taat setia kepada bumi ini. Keadilan yang tidak menggangu gugat hak kepunyaan orang Melayu sebagai penduduk asal.

Tidak hairanlah sekiranya DAP tidak dapat menerima perjuangan PAS kerana mereka melihat dari kacamata perkauman . Sekiranya mereka mahu berlapang dada untuk melihat perjuangan PAS mereka akan menjadi penyokong yang kuat.

Bodoh ke orang bukan Islam dan bukan Melayu untuk menjadi ahli kelab penyokong PAS. Ini tidak lain kerana mereka melihat keadilan yang akan mereka nikmati sekiranya PAS memerintah.

Butakah mata kita untuk melihat orang yang tidak layak menjadi ahli sebuah parti politik menubuhkan kelab penyokong parti berkenaan .

Sekiranya parti DAP buta untuk melihat fenomena ini bersedialah untuk terkubur pada suatu hari nanti.

Fikir-fikirkanlah............