Ahad, 17 Ogos 2008

Kalau tuhan menghendaki seseorang menjadi Islam maka tuhan mudahkan.

Pagi ini saya menghantar kakak dan abang ipar ke KLIA. Mereka hendak pergi ke Sabah untuk melihat anak dan menantu yang bertugas sebagai guru di Sabah. Ini adalah pengalaman pertama mereka menaiki kapalterbang.

Saya membantu mereka mendaftar masuk. Kebetulan semasa berbaris, dihadapan mereka berdiri seorang lelaki yang bersongkok sedang menggunakan telefon bimbitnya. Semasa ia berpaling kelihatan wajahnya menyerupai bangsa Jepun atau Cina. Oleh kerana beliau bersongkok, ianya menarik perhatian saya. Kelihatannya beliau macam mudah mesra.

Maka saya mengambil kesempatan untuk menegurnya. Rupanya beliau orang Cina Malaysia yang berasal dari Grik Perak. Namanya Muhamad Lin Abdullah.

Saya tanya bagaimana sampai beliau boleh tertarik kepada Islam. Katanya petunjuk dari Tuhan. Hairan juga saya mendengarnya. Beliau menceritakan bahawa setiap pagi pada jam 5 pagi beliau akan keluar berjoging. Pada suatu hari ketika mendengar azan subuh beliau tiba-tiba rasa ingin menunaikan sembahyang subuh. Beliau terus pergi ke masjid untuk sembahyang subuh, tetapi tidak dibenarkan masuk oleh pengawal. Esoknya perkara yang sama berulang lagi. Pada hari ketiga beliau diberitahu oleh pengawal sekiranya beliau hendak sembahyang mestilah memakai seluar panjang yang menutup aurat. Maka beliau pulang ke rumah dan kembali semula dengan memakai seluar panjang. Katanya hari itu adalah hari yang bersejarah kerana disaksikan dengan 2 orang imam beliau telah diislamkan. Imam telah mengeluarkan sepucuk surat yang mengesahkan pengislaman beliau.

Esoknya beliau mendaftarkan keislamannya di pejabat ugama kerana kebetulan hari pengislamannya terjatuh pada hari Ahad. Pejabat ugama tutup pada hari Ahad. Pejabat ugama telah menguruskan pembelajaran Islamnya. Katanya sehingga hari ini sudah 8 tahun beliau memeluk Islam iaitu semenjak tahun 2001.

Apabila saya ajukan berkenaan penerimaan kaum keluarga. Tidak ada masalah katanya. Beliau tinggal bersama keluarga. Ustaz-ustaz selalu datang kerumahnya termasuk pada hari Tahun Baru Cina. Emaknya melayan baik ustaz-ustaz yang datang berkunjung.

Cuma katanya, seorang abangnya tidak bersetuju dengan tindakannya. Abangnya seorang yang memiliki ijazah sarjana dan seorang guru penolong kanan. Abangnya merasakan bahawa beliau lebih bijak dalam menilai sesuatu. Tindakan yang diambilnya adalah tindakan yang tidak bijak.

Apabila saya minta tolong membantu kakak dan abang ipar semasa dalam perjalanan sehingga di lapangan terbang Kota Kinabalu, beliau nampaknya bersungguh ingin membantu.

Peristiwa ini membuat saya berfikir. Sesungguhnya perjalanan kakak dan abang ipar saya sebenarnya merisaukan juga. Mereka hanya orang kampung yang tidak pernah berjalan sejauh ini. Mungkin sekadar menghantar orang naik kapalterbang ada. Tambahan pula berada disuatu tempat yang asing walaupun di negara sendiri. Kerana ketulusan hati mereka maka Tuhan datangkan seseorang untuk membantu mereka. Aku pun boleh bergerak pulang dengan hati yang senang dan tenteram.

Kisah saudara baru ini menginsafkan kita, bahawa Allah berhak membuat sekehendakNya kerana Allah adalah Tuhan Yang Maha Kuasa. Dia berkuasa untuk melakukan ikut kehendakNya. Dia boleh memberi hidayah pada siapa sahaja yang dipilihNya. Tanpa da'wah manusia boleh menerima Islam. Bukan kerja kita untuk memberi hidayah. Kerja kita hanyalah untuk menyampaikan. Tidak perlulah kita berputusa asa apabila manusia tidak mahu menerimanya.

Tiada ulasan: