Memaparkan catatan dengan label Kefahaman Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kefahaman Islam. Papar semua catatan

Rabu, 10 Disember 2008

Fatwa Yoga, Kita Ini Reakrif @ Proaktif

Isu fatwa yoga membawa kepada 2 implikasi. Implikasi pada umat Islam dan implikasi kepada bukan Islam. Kita perlu melihat perkara ini dengan lebih munasabah bukan dengan emosi.

Umat Islam apabila menentang fatwa ini menggambarkan kejahilannya. Adanya umat Islam yang masih jahil bererti ada yang tidak beres dari sudut da'wah itu sendiri.

Kalau tidak pandai membaca kita tahu ada sesuatu masalah dalam sistem pendidikan. Berbagai usaha dilakukan pada sistem pendidikan bukan pada pelajar. Untuk memastikan pembelajaran yang diterima dapat melahirkan pelajar yang boleh membaca. Kita tidak pernah menuduh pelajar sebagai bodoh, sampai tidak tahu membaca. Kita tidak kutuk pelajar habis-habisan.

Kita tidak marah pada pelajar tetapi kepada guru-guru yang dikatakan tidak pandai mengajar. Maka dilatihlah guru tersebut agar dapat menjadi guru yang cemerlang seterusnya dapat mendidik pelajar sehingga dapat membaca. Sekiranya tidak juga boleh membaca barulah pelajar berkenaan akan dipersalahkan kerana tidak berusaha untuk memahami pelajaran yang diajar.

Berlainan pula dalam isu fatwa ini. Kita tidak pernah mengkaji sejauhmana pemahaman orang Islam yang menentang. Sejauhmana kefahamannya tentang Islam. Sekiranya pengamalan Islamnya ada, pernahkah ditanya kenapa mereka mengamalkan yoga.

Apakah penerangan tentang yoga ini telah dibahaskan agar difahami oleh umat Islam. Sejauhmanakah umat Islam telah memahami apa dia yoga tersebut. Bagaimanakah pembahasannya dalam Islam. Mungkin lebih baik perkara ini dibiarkan dahulu untuk dibahaskan oleh cerdik pandai Islam selepas dicetuskan oleh pensyarah UKM. Dengan perbahasan mungkin sudah cukup untuk menghindari umat Islam daripada mengamalkannya.

Bukan Islam apabila menentang fatwa ini sepatutnya kita lihat dengan lebih positif. Ini menunjukkan mereka peka akan kehadiran Islam. Perkara yang hanya berkait dengan umat Islam kenapa mendapat tentang. Adakah mereka benar-benar menentang Islam. Atau adakah mereka marah kerana akan kehilangan pelanggan yang terdiri dari umat Islam. Kita bolehlah melihat dari dua sudut.

Ini adalah peluang untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang Islam. Pada masa ini mereka mungkin lebih terbuka untuk mendengar. Kita tidak boleh marah, kerana ini adalah perkara biasa bagi penganut ugama yang akan melenting apabila menyentuh soal ugama masing-masing. Kita juga akan bertindak begitu.

Sejauh manakah usaha yang kita jalankan untuk memberi kefahaman kepada bukan Islam. Kita sendiri menyatakan untuk melaksanakan Islam dinegara ini. Pernahkah kita berussaha memberi kefahaman kepada mereka agar mereka tidak menentang islam. Bagi mereka soal haram dalam Islam mungkin hanyalah babi.

Saya tertarikh dalam kes pengharaman arak oleh Allat swt. Bagaimana dimulakan dengan memberi kefahaman tentang keburukan arak dengan akhirnya diharamkan. Bukankah ada pengajarannya.

Marilah kita fikirkan, kita proaktif @ reaktif. Fikirkanlah........

Selasa, 19 Ogos 2008

Iktibar atau merasa kecewa

Petang ini anak lelaki kedua saya kehilangan beg duitnya. Bersama-sama beg duit tersebut adalah kad pengenalan, kad ATM, kad pelajar UiTM, kad memandu serta sedikit wang.

Sambil memandu ke balai polis untuk membuat laporan kehilangan saya berbual dengannya. Sebenarnya saya jarang dapat berbual panjang dengan anak yang ini kerana beliau telah pergi sekolah asrama sejak berumur 13 tahun. Sememangnya anak yang ini tidak pandai berkata-kata walau pun dia termasuk golongan yang cerdik.

Beliau kurang pandai berkomunikasi. Kata-kata yang keluar dari mulutnya kebanyakan adalah ayat-ayat yang pendek dan straight to point. Kerana sikapnya itu maka ia kelihatan kurang mesra. Tidak tahu pula sejauhmana kemesraannya dengan kawan-kawan.

Dalam perjalanan itu saya mengingatkannya dan juga diri saya, setiap peristiwa samada baik atau buruk adalah dari tuhan. Tuhan yang berkuasa atas sesuatu. Kita hendaklah banyak berfikir atas peristiwa yang berlaku kepada kita. Tanya diri kita kenapa ini boleh berlaku kepada kita. Setelah bertahun-tahun tiba-tiba peristiwa ini berlaku kepada kita. Apakah iktibar yang dapat diambil pengajaran. Apakah salah kita yang perlu diperbaiki.

Setiap peristiwa sekiranya kita perhatikan tidak menimpa pada semua orang. Kenapa sesetengah orang mendapat musibah sedangkan orang lain tidak, sedang kita melalui perkara yang sama.

Kita hendaklah sentiasa berdoa agar dihindarkan daripada musibah, kerana semuanya daripada tuhan. Sudah selayaknya kita mohon pada tuhan. Janganlah musibah yang menimpa menyebabkan kita berputus asa.

Dengan berfikir akan membuat diri kita tenang dan tenteram........

Ahad, 17 Ogos 2008

Kalau tuhan menghendaki seseorang menjadi Islam maka tuhan mudahkan.

Pagi ini saya menghantar kakak dan abang ipar ke KLIA. Mereka hendak pergi ke Sabah untuk melihat anak dan menantu yang bertugas sebagai guru di Sabah. Ini adalah pengalaman pertama mereka menaiki kapalterbang.

Saya membantu mereka mendaftar masuk. Kebetulan semasa berbaris, dihadapan mereka berdiri seorang lelaki yang bersongkok sedang menggunakan telefon bimbitnya. Semasa ia berpaling kelihatan wajahnya menyerupai bangsa Jepun atau Cina. Oleh kerana beliau bersongkok, ianya menarik perhatian saya. Kelihatannya beliau macam mudah mesra.

Maka saya mengambil kesempatan untuk menegurnya. Rupanya beliau orang Cina Malaysia yang berasal dari Grik Perak. Namanya Muhamad Lin Abdullah.

Saya tanya bagaimana sampai beliau boleh tertarik kepada Islam. Katanya petunjuk dari Tuhan. Hairan juga saya mendengarnya. Beliau menceritakan bahawa setiap pagi pada jam 5 pagi beliau akan keluar berjoging. Pada suatu hari ketika mendengar azan subuh beliau tiba-tiba rasa ingin menunaikan sembahyang subuh. Beliau terus pergi ke masjid untuk sembahyang subuh, tetapi tidak dibenarkan masuk oleh pengawal. Esoknya perkara yang sama berulang lagi. Pada hari ketiga beliau diberitahu oleh pengawal sekiranya beliau hendak sembahyang mestilah memakai seluar panjang yang menutup aurat. Maka beliau pulang ke rumah dan kembali semula dengan memakai seluar panjang. Katanya hari itu adalah hari yang bersejarah kerana disaksikan dengan 2 orang imam beliau telah diislamkan. Imam telah mengeluarkan sepucuk surat yang mengesahkan pengislaman beliau.

Esoknya beliau mendaftarkan keislamannya di pejabat ugama kerana kebetulan hari pengislamannya terjatuh pada hari Ahad. Pejabat ugama tutup pada hari Ahad. Pejabat ugama telah menguruskan pembelajaran Islamnya. Katanya sehingga hari ini sudah 8 tahun beliau memeluk Islam iaitu semenjak tahun 2001.

Apabila saya ajukan berkenaan penerimaan kaum keluarga. Tidak ada masalah katanya. Beliau tinggal bersama keluarga. Ustaz-ustaz selalu datang kerumahnya termasuk pada hari Tahun Baru Cina. Emaknya melayan baik ustaz-ustaz yang datang berkunjung.

Cuma katanya, seorang abangnya tidak bersetuju dengan tindakannya. Abangnya seorang yang memiliki ijazah sarjana dan seorang guru penolong kanan. Abangnya merasakan bahawa beliau lebih bijak dalam menilai sesuatu. Tindakan yang diambilnya adalah tindakan yang tidak bijak.

Apabila saya minta tolong membantu kakak dan abang ipar semasa dalam perjalanan sehingga di lapangan terbang Kota Kinabalu, beliau nampaknya bersungguh ingin membantu.

Peristiwa ini membuat saya berfikir. Sesungguhnya perjalanan kakak dan abang ipar saya sebenarnya merisaukan juga. Mereka hanya orang kampung yang tidak pernah berjalan sejauh ini. Mungkin sekadar menghantar orang naik kapalterbang ada. Tambahan pula berada disuatu tempat yang asing walaupun di negara sendiri. Kerana ketulusan hati mereka maka Tuhan datangkan seseorang untuk membantu mereka. Aku pun boleh bergerak pulang dengan hati yang senang dan tenteram.

Kisah saudara baru ini menginsafkan kita, bahawa Allah berhak membuat sekehendakNya kerana Allah adalah Tuhan Yang Maha Kuasa. Dia berkuasa untuk melakukan ikut kehendakNya. Dia boleh memberi hidayah pada siapa sahaja yang dipilihNya. Tanpa da'wah manusia boleh menerima Islam. Bukan kerja kita untuk memberi hidayah. Kerja kita hanyalah untuk menyampaikan. Tidak perlulah kita berputusa asa apabila manusia tidak mahu menerimanya.

Rabu, 30 Julai 2008

Israk dan Mikraaj di mana pengajarannya.

Hari ini kita menyambut Israk dan Mikraj. ia adalah peristiwa penting dalam kalendar umat Islam. Sejauhmana kita sebagai umat Islam memahami peristiwa ini. Kalau di kampung-kampung dan tidak kurang juga di bandar peristiwa ini akan disambut dengan mengadakan majlis jamuan dan ceramah.

Ceramah selalunya berkisah tentang cerita Israk dan Mikraj itu sahaja. Tentang bagaimana Nabi Muhammad saw dijalankan dari Makkah ke Masjidil Aqsa. Dan dari Masjidil Aqsa di naikkan ke langit untuk bertemu dengan Allah swt. Tentang peristiwa yang ditempuh sepanjang perjalanan tersebut. Tentang bagaimana solat 5 waktu yang mula disyariatkan ke atas umat Islam. Semua peristiwa yang dilalui oleh Nabi Muhammad saw adalah penting kerana banyak pengajaran yang dapat kita ambil iktibar. Ada lagi perkara penting yang dapat kita ambil iktibar.

Peristiwa ini berlaku ketika Islam di Makkah dan masih lagi ditindas. Peristiwa ini telah menggoncang keimanan umat Islam. Pada zaman tersebut adalah suatu perkara yang pelik apabila ada manusia yang mampu pergi kesatu tempat yaang jauhnya beribu batu dan naik pula ke langit.Kalau kita hidup di zaman tersebut, tidak mustahil kita juga akan goyang iman. Tidak boleh langsung tergambar difikiran kita. Musuh-musuh Islam telah mengambil kesempatan dari peristiwa tersebut memperolok dan mempermainkan keimanan umat Islam.

Tetapi ada seorang manusia yang keimanannya langsung tidak goyah. Malah beliau boleh berkata sekiranya Muhamamad pergi lagi jauh dari itu aku tetap percaya. Kenapa manusia yang bernama Abu Bakar ini boleh begitu kuat kepercayaannya kepada Nabi Muhammad saw. Inilah contoh iman yang sebenar yang dikehendaki oleh Islam. Beliau yakin benar-benar bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah. Maka setiap yang datang dari pesuruh Allah adalah benar walaupun nampaknya tidak logik pada aqal manusia biasa. Beliau yakin apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw itu benar-benar dari Allah. Keyakinan ini ditunjukkan dengan membenarkan Nabi Muhammad saw.

Kita fikirkanlah dan tanya diri kita sejauh mana keimanan kita. Sejauh mana kita benar-benar yakin bahawa apabila kita menerima Islam dan melaksanakan Islam dalam kehidupan ianya benar-benar akan membawa kebaikan kepada kita dan umat Islam. Sejauh mana kita jadikan Islam itu panduan hidup kita dalam setiap masa. Sejauh mana kita yakin bahawa Islam merupakan penyelesaian kepada masalah manusia dan kita cuba sampaaikan kepada semua manusia.

Fikirkanlah.