Ahad, 31 Ogos 2008

Belum Mampukah Kita Menghindari Perjuangan Berasaskan Bangsa.

Sedikit masa dulu Pakatan Rakyat melalui DAP telah menukar papan tanda jalan di Kuala Lumpur kepada 3 bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina dan India. Alasannya adalah untuk menggambarkan masyarakat majmuk yang ada di Malaysia. Dengan itu perpaduan dapat ditingkatkan.

Saya tidak membantah dan sama sekali tidak menyokongnya. Kita sebagai rakyat yang mengaku taat setia kepada negara ini marilah kita melihat isu ini dengan hati yang terbuka.

Apabila kita pergi ke sesebuah negara, apakah kita akan melihat papan tanda yang ada dalam berbagai bahasa. Kebiasaannya ia akan mengikut bahasa kebangsaaan sesuatu negara. Kalau ada pun tambahan adalah bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris. Atau mungkin juga bahasa lain-lain selain bahasa Inggeris.


Adakah kepelbagaian bahasa ini digunakan untuk menggambarkan kepelbagaian bangsa atau untuk memudahkan perjalanan. Adakah kepelbagaian bahasa ini untuk warganegaranya atau pelancong luar.


Saya tertarik dengan jawapan Tuan Guru Dato Seri Haji AbdulHadi Awang pada suatu masa dulu apabila ditanya oleh kaum Cina, apakah bahasa Cina akan digunakan sebagai bahasa rasmi apabila PAS memerintah. Jawapan Tuan Guru, di negeri Cina bahasa apakah yang digunakan sebagai bahasa rasmi.


Maka bahasa rasmi adalah mengikut negara yang berkenaan. Thailand akan menggunakan bahasa Thainya, Filipina akan mengunakan bahasa Tagalognya, Peranchis akan menggunakan bahasa Peranchisnya, Britain dan USA akan menggunakan bahasa Inggeris.


Nilai bahasa yang digunakan oleh sesebuah negara adalah nilai sejagat iaitu bahasa utama negara berkenaan. Maka bahasa utama negara Malaysia adalah bahasa Melayu. Apa sahaja urusan mestilah dalam bahasa Melayu. Kecuali dalam keadaan tertentu.

Bukankah apabila Tanah Melayu hendak di merdekakan syarat-syarat kewarganegaraan adalah boleh bertutur dan memahami bahasa Melayu. Malah semua sekolah mengajar bahasa Melayu selepas merdeka termasuk juga sekolah bangsa-bangsa lain yang ada di Tanah Melayu.


Kita sudah merdeka 51 tahun mustahil ada lagi orang bukan Melayu yang tidak memahami bahasa Melayu sehingga papan tanda terpaksa ditukarkan kepada 3 bahasa.


Untuk menggambarkan masyarakat majmuk kita kena meletak juga bahasa kaum lain seperti Sikh, Iban, Kadazan, Asli, Jawa, Banjar dan sebagainya.

Sekiranya untuk pelancong, bahasa Arab juga perlu ditulis kerana Malaysia sekarang menerima banyak pelancong Arab.

Sikap yang diambil oleh DAP sebenarnya menggambarkan kedangkalan perjuangan. Mereka masih tidak jelas apa yang mereka hendak perjuangkan. Apa yang jelas adalah keadilan untuk bangsa bukan melayu, bukan keadilan bangsa Malaysia.

Kalau dibuat tinjuan pun rasanya bukan itu yang dikehendaki oleh bangsa selain Melayu. Mereka mahukan keadilan untuk mereka sebagai bangsa bukan Melayu yang telah menumpahkan taat setia kepada bumi ini. Keadilan yang tidak menggangu gugat hak kepunyaan orang Melayu sebagai penduduk asal.

Tidak hairanlah sekiranya DAP tidak dapat menerima perjuangan PAS kerana mereka melihat dari kacamata perkauman . Sekiranya mereka mahu berlapang dada untuk melihat perjuangan PAS mereka akan menjadi penyokong yang kuat.

Bodoh ke orang bukan Islam dan bukan Melayu untuk menjadi ahli kelab penyokong PAS. Ini tidak lain kerana mereka melihat keadilan yang akan mereka nikmati sekiranya PAS memerintah.

Butakah mata kita untuk melihat orang yang tidak layak menjadi ahli sebuah parti politik menubuhkan kelab penyokong parti berkenaan .

Sekiranya parti DAP buta untuk melihat fenomena ini bersedialah untuk terkubur pada suatu hari nanti.

Fikir-fikirkanlah............

Tiada ulasan: